USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM BANGUNKAN KEPAKARAN TEMPATAN DALAM TEKNOLOGI LED BERTARAF DUNIA

USM PULAU PINANG, 14 Februari 2025 – Umum pastinya sudah mengetahui mengenai Diod Pemancar Cahaya (LED).

Ia kerana peranti ini digunakan secara meluas dalam produk pengguna sebagai sumber pencahayaan, paparan skrin, penginaktifan virus, fototerapi perubatan dan sebagainya.

Namun, ramai yang mungkin tidak tahu, LED yang digunakan dalam penghasilan produk-produk berkenaan dibuat oleh negara luar.

Malaysia belum pernah menghasilkan cip LED sendiri.

Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Institut Penyelidikan dan Teknologi Nano Optoelektronik (INOR) antara institusi pendidikan tinggi dalam negara yang menerajui penyelidikan berkaitan LED.

Para penyelidik di INOR USM berjaya menghasilkan cip LED berkualiti tinggi melalui proses yang dikenali sebagai epitaksi.

Secara terperinci, proses ini melibatkan penyusunan atom-atom daripada bahan III-V Nitrida secara tepat dan teratur.

Sebagai makluman, bahan III-V Nitrida merupakan komponen utama dalam pembentukan struktur LED.

Penemuan ini menjadi satu pencapaian yang amat membanggakan kepada USM sebagai salah sebuah Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (Higher Institution Centre of Excellence, HICoE) negara.

Penyelidikan terunggul ini telah diterbitkan dalam beberapa jurnal berimpak tinggi dan difailkan dalam bentuk paten.

Ianya memberikan potensi besar untuk diadaptasi dalam industri berkaitan.

Menariknya, proses penghasilan LED yang menggunakan teknik epitaksi tersebut memerlukan kepakaran dan kemahiran tinggi.

Teknik berkenaan kebanyakannya dibangunkan di negara-negara maju seperti USA, Jerman, Jepun, Korea dan China.

Namun kini, teknologi epitaksi LED sudah mula dibangunkan di Malaysia oleh bakat tempatan.

Lebih membanggakan, INOR telah menjalinkan kerjasama dengan kumpulan penyelidikan bertaraf dunia dalam epitaksi LED, termasuk Pemenang Hadiah Nobel Fizik Tahun 2014, Profesor Dr. Shuji Nakamura.

Kerjasama ini membuka peluang kepada penyelidik INOR mengangkat kualiti penyelidikan LED ke peringkat yang lebih tinggi.

Dengan adanya pembangunan teknologi epitaksi LED ini, ianya membuka peluang untuk penyelidik di INOR menghasilkan pelbagai peranti elektronik lain.

Antaranya termasuk penghasilan Transistor Mobiliti Elektron Tinggi (HEMT) yang kini mendapat perhatian untuk aplikasi yang mengujakan seperti kenderaan elektrik.

Teks: Profesor Madya Dr. Norzaini Zainal, Institut Penyelidikan dan Teknologi Nano Optoelektronik (INOR), USM/Suntingan: MPRC


Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024