PROGRAM ANAK KITA: SPM 2025 – USAHA PEMERKASAAN PENDIDIKAN PERLIS MANFAATKAN 600 PELAJAR
KANGAR, PERLIS, 12 Februari 2025 – Program Anak Kita: SPM 2025, yang merupakan inisiatif kerjasama antara Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Kewangan Malaysia, telah dilancarkan secara rasmi di The Putra Regency Hotel, Kangar, bagi peringkat negeri Perlis.
Program ini, yang diselaraskan oleh Yayasan Hasanah dan dilaksanakan oleh Universiti Sains Malaysia (USM), bertujuan menyediakan intervensi sokongan pembelajaran bagi pelajar yang memerlukan, menangani isu keciciran pendidikan, serta meningkatkan kadar kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Sebanyak 600 pelajar dari sembilan buah sekolah di negeri Perlis akan menerima tablet pendidikan yang dilengkapi dengan pelan data percuma selama 13 bulan bagi menyokong pembelajaran dalam talian serta memberi akses kepada sumber pendidikan digital.
USM komited dalam memperkasakan pelajar melalui pendekatan holistik dan intervensi berstruktur yang bukan sahaja menumpukan kepada peningkatan prestasi akademik, tetapi juga pembangunan diri serta persediaan pelajar untuk menghadapi kehidupan selepas sekolah.
Selain itu, program ini turut memanfaatkan hasil penyelidikan universiti melalui pemindahan ilmu dan inovasi akademik, sekali gus memastikan pendekatan pembelajaran yang lebih berkesan serta menyesuaikan diri dengan keperluan pelajar secara individu.
Dengan adanya inisiatif ini, diharapkan lebih ramai pelajar daripada latar belakang yang mencabar dapat memperoleh pendidikan yang inklusif dan berkualiti, sekali gus melahirkan generasi pewaris negara yang berilmu dan berakhlak mulia.
Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, dan Raja Puan Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Dasar & Kurikulum), Dr. Rusmini Ku Ahmad; Pengarah Urusan dan Pemegang Amanah Yayasan Hasanah, Siti Kamariah Ahmad Subki; Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat USM, Profesor Dr. Azlan Amran; serta Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Tuan Roze Aza Che Ariffin, bersama waris dan pelajar program.
Teks: Muhamad Nur Hazim Mazlan, Pegawai Tadbir, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM/Suntingan: Norliza Farhah Abdul Radzak
- Created on .
- Hits: 123