USM HIMPUN SAINTIS ASEAN DI PERSIDANGAN ANTARABANGSA 14TH IMT-GT UNINET BIOSCIENCE 2025
BATU FERINGGHI, PULAU PINANG, 10 Februari 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) telah dipilih sebagai tuan rumah oleh Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle University Network (IMT-GT UNINET) bagi penganjuran Persidangan Antarabangsa UNINET Bioscience 2025 yang telah berjaya menghimpunkan para saintis dari seluruh dunia bagi membincangkan isu-isu berkaitan sains kajihayat, biodiversiti dan pendidikan lestari.
Persidangan yang berlangsung di Mercure Penang Beach Hotel, di sini dari 7 hingga 8 Februari 2025 ini merupakan kesinambungan daripada penganjuran sebelum oleh University of Prince Songkhla, Thailand pada tahun 2022.
Bertemakan “Innovating a Sustainable Future: Advancing Biodiversity, Science and Education,” persidangan ini bertujuan untuk menyediakan platform perbincangan serta pertukaran idea dan pengalaman antara para penyelidik, selain menjana inovasi dalam bidang biodiversiti, biologi molekul, sains marin, sains tumbuhan, sains perubatan, dan pendidikan lestari.
Bercakap ketika merasmikan persidangan, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dr. Habibah A Wahab berkata, IMT-GT telah sekian lama menjadi simbol kerjasama serantau antara negara termasuk memperkukuh hubungan merentasi sempadan.
“Saya yakin dan percaya bahawa, dengan menghimpunkan ahli akademik, penyelidik, dan pakar industri dari serata dunia, ia dapat meneroka idea-idea inovatif baharu dalam biodiversiti, sains dan pendidikan,” kata beliau.
Kata Habibah lagi, bagi mencapai kelestarian global, ia amat memerlukan pemikiran yang berani dan tindakan proaktif semua pihak terlibat.
“Persidangan ini menjadi platform penting bagi perkongsian ilmu, penyelidikan baharu serta kolaborasi dalam menangani isu-isu kelestarian global yang dihadapi kini.
“Kepakaran yang dimiliki semua pasti akan membuka jalan kepada strategi baharu dan kerjasama yang lebih erat, menyumbang ke arah masa depan yang lebih lestari dan saksama,” jelas Habibah.
Antara objektif utama persidangan ini ialah menyediakan forum untuk membincangkan perkembangan dan inovasi penyelidikan terkini antara saintis di Malaysia dan rantau Asia, memacu kerjasama penyelidikan antara saintis di rantau Asia, dan menjana ilmu dan inovasi terkini dalam bidang berkaitan seperti biodiversiti, biologi molekul, sains marin, sains tumbuhan, sains perubatan, dan pendidikan yang lestari.
Topik-topik utama yang dibincangkan dalam persidangan ini termasuk:
- Sains Makanan dan Pertanian
- Sains Marin dan Air Tawar
- Sains Perubatan dan Kesihatan
- Biologi Molekul dan Bioteknologi
- Komunikasi Sains dan Pendidikan untuk Kelestarian
- Pengurusan dan Pemuliharaan Biodiversiti
Persidangan ini menampilkan beberapa penceramah utama yang dikenali dalam dunia akademia, antaranya Profesor Emerita Datuk Dr. Asma Ismail, sebagai Penyampai Ucaptama.
Persidangan ini disertai oleh 40 peserta, termasuk 9 peserta antarabangsa dari Prince of Songkhla University, Kyoto University, dan National Sun Yat Sen University, serta 31 peserta tempatan.
Manakala sebanyak 40 slot pembentangan lisan disediakan dalam persidangan ini, yang mana setiap pembentang diberikan masa 15 minit untuk pembentangan diikuti dengan sesi soal jawab selama 5 minit.
Turut hadir ialah Dekan Pusat Pengajian Sains Kajihayat USM, Profesor Madya Dr. Amir Hamzah Ahmad Ghazali; Pengarah Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS), Profesor Dato' Dr. Aileen Tan Shau Hwai; Pengucaptama Persidangan, Profesor Dr. Ir. Elisa Julianti, MSi (USU, Indonesia); Profesor Madya Dr. Pimonsri Mittraparp-Arthorn (PSU, Thailand); dan pegawai-pegawai utama Pusat Pengajian Sains Kajihayat, USM.
Teks: Dr. Hasnuri Mat Hassan, Pusat Pengajian Sains Kajihayat, USM/Suntingan: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Pusat Pengajian Sains Kajihayat, USM
- Created on .
- Hits: 117