FLEKSIBILITI RPJJ USM: BUKA PELUANG GOLONGAN BEKERJAYA TIMBA ILMU KE PERINGKAT TERTINGGI
USM PULAU PINANG, 9 Januari 2025 – Rancangan Pendidikan Jarak Jauh (RPJJ) di Universiti Sains Malaysia (USM) menyediakan akses kepada pendidikan tinggi yang fleksibel bagi mereka yang tidak dapat mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka.
Hal ini dapat dicapai melalui penerapan pelbagai teknologi dan aplikasi terkini, membolehkan pembelajaran secara terbuka dan jarak jauh dilaksanakan dengan lebih efisien.
RPJJ USM yang telah mula ditawarkan sejak 1971 merupakan program pengajian tinggi terulung yang membolehkan pelajar daripada pelbagai latar belakang merebut peluang pengajian tinggi sambil bekerja.
Dalam konteks masa kini, program ini amat penting terutamanya kepada pekerja yang memasuki alam pekerjaan sejurus selepas menamatkan persekolahan.
Melalui RPJJ, peluang untuk menimba ilmu di universiti masih terbuka, malah menjadi satu inisiatif bagi pekerja untuk meningkatkan kemahiran dan kelayakan akademik tanpa perlu meninggalkan pekerjaan mereka.
Pembelajaran sambil bekerja bukan sahaja meningkatkan kerjaya, tetapi juga memperkayakan pengetahuan dan pengalaman individu.
Dengan adanya RPJJ, pendidikan menjadi lebih menyeluruh dan mudah diakses, sekaligus menyokong pembangunan peribadi dan profesional.
Sistem RPJJ USM membolehkan pembelajaran tanpa kehadiran fizikal di kelas, memanfaatkan teknologi digital untuk sesi pembelajaran.
Konsep utama RPJJ adalah fleksibiliti dalam akses terhadap proses pembelajaran yang membolehkan pelajar mengikuti pengajian dari pelbagai lokasi.
Pendekatan ini memberi peluang kepada mereka yang terikat dengan kesibukan kerja atau tinggal jauh dari institusi pendidikan untuk tetap melanjutkan pengajian di peringkat tertinggi.
Pelajar boleh menikmati fleksibiliti dalam pembelajaran melalui bahan kendiri, kuliah dan bimbingan secara dalam talian serta penilaian secara maya.
Format ini membolehkan pelajar mengakses bahan pembelajaran, menyertai perbincangan, dan menghantar tugasan melalui portal pembelajaran dalam talian yang disediakan.
Peluang belajar sambil bekerja juga membolehkan pelajar meningkatkan kemahiran dan kelayakan mereka tanpa menjejaskan kemajuan dalam kerjaya.
Bagi majikan, RPJJ menyediakan tenaga kerja yang lebih terlatih dan berpengetahuan tanpa perlu menghantar mereka menghadiri kursus di luar waktu kerja.
Dalam kata lain, RPJJ membantu individu meningkatkan laluan kerjaya mereka serta memberi manfaat kepada organisasi dalam membangunkan tenaga kerja yang berorientasi masa depan.
RPJJ USM diiktiraf serta mempunyai kurikulum yang relevan dengan pasaran kerja, memastikan setiap pelajar mendapat pengalaman pembelajaran terbaik dan terjamin.
Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPJJ) menawarkan program Ijazah Sarjana Muda dalam pelbagai bidang seperti Sains, Sains Kemasyarakatan, Pengurusan, dan Sastera seperti berikut:
- Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Biologi dengan Kepujian
- Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Matematik dengan Kepujian
- Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan dalam Sains Politik dengan Kepujian
- Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan dalam Antropologi dan Sosiologi dengan Kepujian
- Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan dalam Ekonomi dengan Kepujian
- Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam Sejarah dengan Kepujian
- Ijazah Sarjana Muda Pengurusan dalam Kewangan dengan Kepujian
- Ijazah Sarjana Muda Pengurusan dalam Pemasaran dengan Kepujian, dan
- Ijazah Sarjana Muda Pengurusan dalam Strategi dan Pengurusan Organisasi dengan Kepujian.
RPJJ USM adalah pilihan tepat bagi mereka yang ingin menyambung pengajian tetapi menghadapi kekangan masa dan bebanan kewangan.
Dengan teknologi terkini, inovasi dalam pengajaran, dan pelbagai perkhidmatan sokongan, USM memastikan setiap pelajar mendapat pengalaman pembelajaran yang berkualiti.
Sebagai pelajar RPJJ USM, mereka berpeluang mengikuti pengalaman pembelajaran daripada salah satu universiti penyelidikan tersohor di Malaysia serta institusi yang menerajui agenda kelestarian.
Permohonan kemasukan ke RPJJ Fasa Satu dibuka mulai 27 Januari 2025 hingga 2 Mei 2025.
Rebutlah peluang ini untuk melanjutkan pengajian di universiti terkemuka seperti USM.
Untuk maklumat lanjut, sila layari https://pohon.usm.my atau hubungi PPPJJ USM di talian 04-653 6197.
Teks asal: Mohd Rashid Abdul Rejab, Timbalan Pendaftar, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh USM/Suntingan: Shafinaz Md Ismail
- Created on .
- Hits: 173