PROFESOR DATO’ DR. ZULFIGAR YASIN: LEGASI ILMUWAN KELAUTAN DAN PENJAGA WARISAN MARIN USM
USM PULAU PINANG, 6 Februari 2025 – Profesor Dato’ Dr. Zulfigar Yasin, seorang tokoh akademik tersohor dalam bidang biologi marin dan ekologi alam sekitar, dan pernah berkhidmat di Pusat Pengajian Sains Kajihayat dan Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS) Universiti Sains Malaysia (USM), telah meninggal dunia pada 4 Februari 2025.
Legasi beliau amat besar dalam kajian marin dan pemuliharaan alam sekitar.
Sepanjang kerjayanya, beliau memainkan peranan penting dalam penubuhan taman-taman laut di Malaysia dan mengetuai ekspedisi kebangsaan bagi mendokumentasikan biodiversiti marin.
Sebagai penghormatan atas sumbangannya dalam kajian Middle Bank, Pulau Pinang sejak tahun 1990, spesies baharu timun laut, Euthyonidiella zulfigaris, telah dinamakan sempena namanya pada tahun 2022.
Pada tahun 2002, beliau mengetuai ekspedisi saintifik selama 10 minggu ke Antartika, menjadikannya antara saintis Malaysia yang terlibat dalam kajian ekosistem ekstrem di Lautan Selatan.
Kajian beliau terhadap Lautan Selatan memberi pemahaman lebih mendalam mengenai perubahan iklim global, arus laut, dan ekosistem unik di Antartika yang mempengaruhi kestabilan ekologi dunia.
Selama beliau berkhidmat di USM, Zulfigar dikenali sebagai pendidik dan mentor yang sentiasa positif, berdedikasi, membimbing generasi baharu pelajar dan saintis dalam bidang kelautan dan pemuliharaan alam sekitar.
Pemergiannya ternyata satu kehilangan besar, namun legasinya dalam pemuliharaan marin dan pendidikan akan terus dikenang serta menjadi rujukan kepada penyelidik masa depan.
Semoga roh beliau ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan diberkati. Al-Fatihah.
Teks: Shafinaz Md Ismail/Foto: Arkib MPRC USM
- Created on .
- Hits: 143