PENGGUNAAN TEKNOLOGI DIGITAL DALAM STRATEGI PEMASARAN PENERBIT USM DISEGANI
USM PULAU PINANG, 3 Februari 2025 – Penerbit USM hari ini menerima lawatan penanda aras daripada Unit Pemasaran, Penerbit UKM.
Delegasi pelawat adalah seramai 6 orang, diketuai oleh Ketua Unit Pemasaran Penerbit UKM, Kamarul Arifin Sallehhudin, dan ketibaan mereka telah disambut oleh Ketua Bahagian Pemasaran Penerbit USM, Mohd Zaidi Abdullah bersama beberapa staf Penerbit USM.
Lawatan tersebut diadakan bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan dalam strategi pemasaran melalui media digital yang boleh dicontohi oleh Penerbit UKM.
Menurut Kamarul, Penerbit USM dikenali dengan kejayaan dalam penggunaan teknologi digital untuk tujuan promosi dan komunikasi.
![]() |
![]() |
“Oleh itu, lawatan ini bertujuan untuk mempelajari amalan terbaik yang digunakan Penerbit USM dan berkongsi pengetahuan dalam usaha memperkukuhkan kemahiran pemasaran dalam kalangan staf Unit Pemasaran Penerbit UKM,” katanya.
Sejurus selesai sesi taklimat, satu program bual bicara dalam talian melalui platform The Emdash Show telah diadakan dengan tajuk Buku Penerbit Universiti: Ke Mana Boleh Pergi? bersama Zaidi dan Kamarul, selaku ahli panel program.
Program tersebut telah disiarkan secara langsung melalui platform rasmi Facebook, YouTube dan TikTok Penerbit USM.
Sesi lawatan berkenaan diakhiri dengan kunjungan ke kedai buku USM, Emdash Bookstore, yang baru sahaja selesai diubahsuai.
![]() |
![]() |
Menurut Zaidi, Penerbit USM amat berbesar hati menerima lawatan penanda aras dari Penerbit UKM ini.
“Syukur alhamdulillah, ini sekaligus menunjukkan Penerbit USM dikenali dan disegani dengan kejayaan dalam penggunaan teknologi digital untuk tujuan promosi dan komunikasi dalam strategi pemasaran Penerbit USM,” katanya.
Teks: Mohd Zaidi Abdullah, Ketua Bahagian Pemasaran, Penerbit USM/Suntingan: Tan Ewe Hoe/Foto: Penerbit USM
- Created on .
- Hits: 378