SINERGI KERJASAMA USM-UZBEKISTAN: MENJULANG SDG 4 DALAM JARINGAN AKADEMIK GLOBAL
TANJONG MALIM, PERAK, 5 Februari 2025 – Forum Pendidikan Tinggi Malaysia-Uzbekistan pertama di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini menjadi pemangkin kepada kerjasama akademik strategik antara kedua-dua negara.
Bertemakan "Uzbekistan-Malaysia: Opportunities and Initiatives for Achieving Sustainable Development Goals in Higher Education", forum ini memberi tumpuan kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 4, iaitu memastikan tercapainya pendidikan berkualiti, inklusif dan berkesamaan untuk semua.
USM memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju akademik serantau dengan menandatangani tiga Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Tashkent Agrarian University, Uzbekistan State World Languages University, dan Tashkent State Transport University pada 4 Februari 2025.
Perjanjian ini ditandatangani oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, bersama rakan sejawatnya dari ketiga-tiga universiti tersebut, demi menandakan komitmen jangka panjang ke arah pengukuhan hubungan akademik antara Malaysia dan Uzbekistan.
Skop kerjasama Memorandum Persefahaman ini meliputi:
a) Kolaborasi penyelidikan dan akademik dalam bidang tujahan yang bersesuaian dengan universiti masing-masing;
b) Kerjasama dalam pengajian pasca siswazah antara kedua-dua negara;
c) Pertukaran tenaga pengajar, penyelidik, dan pelajar untuk penyelidikan, kuliah, dan perbincangan akademik;
d) Penganjuran persidangan antarabangsa, seminar, bengkel, penyelidikan dan penerbitan dalam bidang-bidang akademik yang bersesuaian;
e) Pertukaran penerbitan akademik untuk memperkaya sumber ilmiah kedua-dua institusi; dan
f) Hubungan akademik dan kerjasama strategik lain yang akan dikenal pasti dan dipersetujui dari semasa ke semasa.
Dengan termeterainya perjanjian ini, USM kini mempunyai sembilan MoU aktif dengan institusi pendidikan tinggi di Uzbekistan:
1. Center for Higher Education Development Research under the Ministry of Higher Education, Science and Innovations Republic of Uzbekistan
2. Oxus University
3. Tashkent International University of Education
4. Bukhara State Medical Institute
5. Bukhara Avicenna Texnikumi
6. Fergana State University
7. Tashkent Agrarian University
8. Uzbekistan State World Languages University
9. Tashkent State Transport University
Forum ini turut memperlihatkan hubungan akademik yang semakin kukuh antara Malaysia dan Uzbekistan melalui pelbagai inisiatif yang dirangka.
Majlis forum ini disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, bersama Menteri Pendidikan Tinggi, Sains dan Inovasi Uzbekistan, TYT Konratbay Sharipov.
Sebanyak 28 rektor universiti terkemuka Uzbekistan turut serta, yang mencerminkan komitmen tinggi kedua-dua negara dalam memperkukuh jaringan akademik dan penyelidikan merentas sempadan.
Forum ini juga menyaksikan penubuhan Konsortium Pendidikan Tinggi Antara Malaysia-Uzbekistan (MUHEC) yang diterajui oleh UPSI, dan berperanan sebagai platform strategik dalam memperkukuh mobiliti akademik, pertukaran pengetahuan, dan penyelidikan bersama.
USM optimis bahawa jaringan akademik ini akan memperluaskan peluang antarabangsa, sekaligus meningkatkan daya saing institusi dalam arena pendidikan tinggi global.
Teks: Dr. Khairul Anuar Che Azmi, Penasihat Undang-Undang & Shafinaz Md Ismail/ Foto: Mohd Fairus Md Isa & Muhammad Faris Darwisy Mohammad Rafiq
- Created on .
- Hits: 229