PROJEK PENANAMAN CENDAWAN VOLVARIELLA BERSAMA KOMUNITI TUAI HASIL PERTAMA
PULAU PINANG, 28 Januari 2025 – Projek Penanaman Cendawan Volvariella bersama komuniti Kampung Guar Jering/Kampung Terus, Permatang Pauh di bawah Inisiatif Geran Sejati Madani hari ini menuai hasil pertama.
Projek ini adalah dengan bantuan penasihatan dari pensyarah dan staf Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ) Universiti Sains Malaysia (USM), dan telah mula dilaksanakan pada bulan September lalu.
Ketua Projek, Dr. Lim Chee Ann mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua ahli komuniti, khususnya Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan Kampung Guar Jering/Kampung Terus yang diketuai oleh Suhaimi Sabudin, yang telah memainkan peranan aktif dalam memastikan kelancaran pelaksanaan projek ini.
![]() |
![]() |
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan penasihat dari PPPJJ USM yang telah memberikan bimbingan dan sokongan berterusan sepanjang projek ini berlangsung.
Ahli kumpulan penasihat adalah Prof. Madya Dr. Tan Wen Nee, Dr. Jacquelina Karimon, Dr. Wan Nur Aqlili Wan Mohd Ruzai, Dr. Ainul Mohsein Abdul Mohsin dan Nor Rafizah Md. Zain.
“Semoga kejayaan fasa pertama ini menjadi pemangkin kepada kesinambungan fasa-fasa akan datang, seterusnya memperkukuhkan usaha pembangunan sosioekonomi komuniti secara mampan dan inklusif,” tambah Lim.
Untuk rekod, penanaman cendawan ini menggunakan kaedah yang baharu dan lestari kerana memberikan pelbagai faedah seperti pengurusan yang mudah dan kos yang rendah, boleh dilaksanakan oleh pekebun secara sambilan di samping menguruskan tanaman sedia ada, dan menggunakan hasil buangan kilang kelapa sawit.
Tambah Lim, projek ini menyokong agenda USM untuk mengupayakan komuniti lestari dengan menjaga kesejahteraan persekitaran fizikal.
![]() |
![]() |
“Penanaman cendawan ini menerapkan konsep pertanian lestari iaitu produk yang bakal dihasilkan adalah selamat dimakan, mengurangkan pencemaran alam sekitar, serta menstabilkan pendapatan petani.
“Ia juga selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan, SDG 2: Kelaparan Sifar; SDG 8: Pekerjaan yang Sesuai dan Pertumbuhan Ekonomi; dan SDG 15: Kehidupan di Darat,” jelasnya.
Hasil tuaian akan dipasarkan oleh komuniti dan pembelian akan dibuka kelak kepada orang awam.
Teks: Nor Rafizah Md Zain/Foto: Nurzaniliyana Abdul Rani, PPPJJ USM
- Created on .
- Hits: 167