INISIATIF PEMBERIAN 400 DOS VAKSIN HPV PERCUMA TINGKATKAN KESEJAHTERAAN WARGA KAMPUS USM
USM PULAU PINANG, 24 Januari 2025 – Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (National Cancer Society Malaysia, NCSM) dengan rakan kerjasama Pusat Sejahtera USM dan Ikatan Mahasiswa/i Johor (IKMAR) telah berjaya mengadakan program Let’s Get HPV Vaccinated di Pusat Sejahtera, USM Kampus Induk.
Program sehari itu telah diadakan di Bilik HDU, Pusat Sejahtera (Kesihatan & Pergigian) dari jam 9:00 pagi - 5:00 petang.
Kumpulan sasaran adalah ditumpukan kepada golongan lelaki dan wanita berusia dalam lingkungan 13 - 45 tahun, dan ia terhad kepada 400 dos sahaja.
Inisiatif pemberian secara percuma dos pertama Vaksin Human Papillomavirus (HPV) melibatkan warga staf, pelajar dan orang awam itu turut dibantu oleh lapan (8) orang sukarelawan pelajar IKMAR diketuai oleh Nur Fadzlin Najwa Mohd Noor, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Eksekutif Keselamatan dan Kesihatan.
Fadzlin berpendapat ia suatu inisiatif yang amat baik, kerana pemberian vaksin adalah secara percuma berbanding kosnya yang agak tinggi terutama di klinik swasta.
“Ianya juga merupakan suatu inisiatif kolektif melalui penjagaan kesihatan yang baik kepada semua pelajar,” katanya.
Menurut Eksekutif Kesihatan Komuniti, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia, Yanesha Devi, inisiatif pemberian vaksin ini adalah bertujuan bukan hanya untuk merendahkan risiko kanser pangkal rahim (serviks) pada golongan wanita tetapi juga untuk mengurangkan jangkitan HPV dalam kalangan lelaki.
“Sebagai langkah pencegahan, sebanyak 400 dos vaksin HPV telah diberikan dan dos pertama ini mampu bertahan selama 10 tahun (75% pencegahan),” ujarnya lagi.
Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) melalui Pusat Sejahtera, MPP dan persatuan pelajar sentiasa mencari ruang dan peluang bagi meningkatkan kesejahteraan warga kampus dalam memperkasakan lagi SDG 3 bagi memastikan kehidupan yang sihat dan menggalakkan kesejahteraan pada semua peringkat umur.
Melalui sasarannya dalam memperluas perkhidmatan kesihatan sejagat, termasuk perlindungan penjagaan kesihatan yang berkualiti, selamat, berkesan, dan berpatutan untuk semua, diharapkan agar warga kampus terutamanya pelajar dapat mengambil manfaat sebaik mungkin program-program keselamatan dan kesihatan seumpama ini yang dianjurkan oleh pihak universiti dari semasa ke semasa.
Dilaporkan kanser serviks adalah kanser ketiga paling tinggi dihidapi oleh wanita di negara ini yang membabitkan 12 peratus daripada semua kanser selepas kanser payudara dan usus besar.
Pengambilan suntikan Vaksin Human Papillomavirus (HPV) boleh mencegah jangkitan HPV yang berisiko menjadi penyebab kepada kanser pangkal rahim (serviks).
Teks & foto: NirMaryadi Rashid, Unit Media dan Penerbitan BHEPA USM
- Created on .
- Hits: 240