“SATU TIDAK CUKUP, DUA LEBIH BAIK” – USM@KL GANDAKAN KAPASITI DI ARAS 15 & 20
KUALA LUMPUR, 27 Januari 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh kehadirannya di ibu kota dengan penambahan ruang akademik baharu di Aras 15, MoF. Inc Tower, Persiaran KLCC, yang dirasmikan dalam majlis penyerahan projek USM@KL Aras 15, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai pusat kecemerlangan akademik dan kerjasama industri.
Langkah ini mencerminkan aspirasi universiti untuk terus berkembang dan menawarkan lebih banyak program akademik berkualiti kepada masyarakat dan industri, khususnya yang menetap atau bekerja di Lembah Klang dan sekitarnya.
Antara program ijazah tinggi yang bakal ditawarkan pada 2025 termasuk Sarjana Analitik Perniagaan, Sarjana Pengurusan Profesional, Sarjana Komunikasi, Sarjana Rekabentuk dalam Industri Kreatif, Sarjana Pentadbiran Awam, dan Sarjana Kerja Sosial.
Terletak strategik di pusat bandaraya, berhampiran Menara Berkembar Petronas (KLCC), USM@KL menawarkan suasana pembelajaran yang moden dan kondusif, dilengkapi kemudahan lebih komprehensif serta akses mudah melalui rangkaian MRT dan pengangkutan awam utama, sekali gus menjadikannya hab pendidikan dan inovasi yang ideal di tengah-tengah ibu kota.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, dalam ucapannya menegaskan bahawa penambahan ruang ini membuka lebih banyak peluang kepada pelajar, penyelidik, serta rakan industri untuk belajar dan berkolaborasi dalam persekitaran yang lebih dinamik dan kondusif.
“Dengan kedudukannya di Aras 15 dan Aras 20, USM@KL kini bersedia untuk melonjak ke tahap lebih tinggi dalam menyumbang kepada pembangunan ilmu dan inovasi.
“Langkah ini bukan sahaja memperluaskan akses pendidikan tinggi tetapi juga memperkukuhkan hubungan strategik dengan pelbagai pihak berkepentingan di ibu kota, termasuk industri dan sektor kerajaan,” katanya.
Majlis penyerahan kunci premis telah disempurnakan secara rasminya dengan penyerahan kunci premis oleh USAINS Holding, selaku Pengurus Projek kepada YBhg. Naib Canselor telah disempurnakan oleh Pengarah Urusan Kumpulannya, En. Farid Wajidi Mat Yusoff.
Turut hadir dalam majlis bermakna ini ialah Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti (LGU) USM, Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin; beberapa ahli LGU USM; Timbalan Dekan, Institut Pengajian Siswazah USM@KL, Profesor Madya Dr. Hasrina Mustafa; serta barisan kepimpinan tertinggi dan pegawai utama USM.
Teks: Profesor Madya Dr. Hasrina Mustafa, Timbalan Dekan IPS USM@KL /Suntingan: Shafinaz Md Ismail/Foto: MPRC
- Created on .
- Hits: 134