USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

UBAHTerra: SEBUAH ASPIRASI DAN HARAPAN UNTUK MEMBINA DUNIA LEBIH LESTARI

474459822 1103456438245649 1578518481025200455 n

USM PULAU PINANG, 22 Januari 2025 – Projek UBAHTerra, iaitu projek tahun akhir pelajar Pusat Pengajian Komunikasi Universiti Sains Malaysia (USM) dalam usaha untuk menangani perubahan iklim melalui amalan kelestarian, telah melabuhkan tirainya pada pagi tadi dalam satu majlis penutupan di Dewan Pembangunan Siswa 1, KOMCA USM.

Majlis pembukaan projek UBAHTerra telah berlangsung pada 18 Disember 2024 lalu, diikuti pada 28 Disember 2024, pelaksanaan pelbagai aktiviti berkaitan kelestarian seperti projek bersama komuniti Taman Utama, Gelugor, serta aktiviti berkaitan persekitaran hidup lebih hijau dan kondusif seperti program kitar semula dan ceramah kelestarian.

Pada 14 Januari 2025, program ‘LECA balls: kaedah penanaman secara akuaponik, kaedah menyuburkan tumbuhan dengan berkesan’ telah dijalankan di Setia SPICE Convention Centre sebagai salah satu inisiatif untuk mendedahkan serta mengalakkan pelajar mengamalkan gaya hidup lestari melalui kaedah pertanian bandar.

Hadir merasmikan majlis penutupan ialah Dekan Pusat Pengajian Komunikasi, Profesor Madya Dr. Bahiyah Omar.

474513292 1103456351578991 1787425473234237798 n

Beliau dalam ucapannya merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada kumpulan pelajar yang terlibat kerana berjaya merealisasikan inisiatif yang begitu bermakna dan berimpak tinggi.

“Projek ini bukan sahaja simbol dedikasi dan komitmen anda semua terhadap isu perubahan iklim, tetapi juga bukti bahawa generasi muda mampu memainkan peranan penting dalam memacu perubahan positif untuk masa depan yang lebih lestari,” tambah beliau lagi.

Sementara itu, Zulhilmi selaku Pengarah Projek turut menzahirkan kesyukuran atas kejayaan projek yang merupakan impian dan misi untuk mencipta dunia yang lebih lestari dan penuh harapan, bukan hanya untuk kepentingan iklim tetapi juga untuk menggerakkan perubahan melalui sekecil-kecil tindakan.

474582289 1103456388245654 2222846490467403886 n

“UBAHTerra bukan sahaja nama, ianya merupakan sebuah aspirasi dan harapan yang dilaksanakan bersama. Prinsip ‘Unite, Balance, Adapt dan Heal’ yang membentuk akronim UBAH bersama ‘Terra’ yang bermaksud ‘bumi’ dalam bahasa Latin menjadi panduan kepada kami dalam setiap langkah sepanjang projek ini berlangsung,” ujarnya dengan penuh semangat.

Turut hadir pada majlis penutupan ialah Timbalan Pendaftar Kanan, BHEPA, Shukeri A. Rahman; Timbalan Dekan (Akademik, Kerjaya dan Antarabangsa) Pusat Pengajian Komunikasi, Dr. Nur Atikah A Rahman; Eksekutif Perhubungan Awam dan Komunikasi, Setia SPICE, Muhammad Jannati Alauddin; Pengarah Kreatif Northwind Intellect, Mazlan Ayob; Pengerusi Komunikasi bersama Taman Utama, Mazlina; Pengerusi Majlis Belia Daerah Timur Laut, Ong Choon Keat; serta Penyelia Projek UBAHTerra, Dr. Kamaruzzaman Abdul Manan dan Dr. Miharaini Md Ghani.

474498832 1103456464912313 8711156966572070214 n   474567981 1103456511578975 8800915469817608988 n

Pelaksanaan program ini pada dasarnya secara aktif menyumbang kepada SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 11 (Kelestarian Bandar dan Komuniti), SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab), SDG 13 (Tindakan Memerangi Perubahan Iklim) dan SDG 17 (Perkongsian untuk Maklumat).

Teks & foto: Siti Ruhaida Mohamed Radhi, Unit Media dan Penerbitan BHEPA USM/Suntingan: Tan Ewe Hoe

  • Created on .
  • Hits: 152

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024