USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MYGRAD 2025 SASAR BERIKAN IMPAK BESAR KEPADA PELAJAR MELALUI PENDEDAHAN KEMAHIRAN BAKAT DAN KERJAYA

474034510 1099379545320005 5194649431507008259 n

USM PULAU PINANG, 16 Januari 2025 – Bengkel dan Mesyuarat Majlis Kebolehpasaran Graduan dan Kerjaya Universiti Awam Malaysia (MyGrad) Kali ke-5 Bil 1/2025 dengan kerjasama TalentCorp telah berjaya diadakan dalam usaha mensasarkan latihan kepada 10,000 pelajar dari universiti awam, dengan setiap universiti menyumbang 500 pelajar pada program Pemerkasaan Bakat dan Kerjaya MyGRAD 2025.

Berlangsung selama dua hari bertempat di Lantai Seni, KOMCA dengan pelaksanaan bersama oleh Sektor Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan, Pusat Pembangunan Pelajar BHEPA USM, sebanyak 20 universiti awam telah menyertai bengkel dan mesyuarat yang diadakan pada kali ini, yang pastinya akan memberikan impak besar kepada pelajar melalui pendedahan kepada kemahiran dan persijilan yang relevan.

Penganjuran Mesyuarat dan Bengkel MyGRAD kali Ke-5 turut diserikan dengan Majlis Pelancaran Program Pemerkasaan Bakat dan Kerjaya MyGRAD 2025 yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Governan Dan Pembangunan), Ahmad Rizal Adnan, pada satu sesi majlis makan malam di Hotel Olive Tree, Bayan Baru, Pulau Pinang.

473621482 1099388511985775 5401467278834305339 n   473993905 1099379158653377 4465173024880646641 n   473823473 1099379238653369 4158336884827114876 n

Turut hadir bersama adalah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin mewakili Naib Canselor USM; Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar BHEPA, Profesor Dr. Azizah Omar; Naib Presiden, Graduan dan Bakat Baharu, TalentCorp, Megat Fazrul Azlin Megat Abd Aziz; serta barisan pegawai TalentCorp dan BHEPA.

Ahmad Rizal dalam ucapannya turut menzahirkan ucapan tahniah kepada USM atas kejayaan memperoleh Anugerah Top Choice Graduate Award pada 27 November 2024 serta terima kasih kerana sudi menjadi tuan rumah untuk Bengkel dan Mesyuarat MyGRAD pada kali ini.

Beliau turut menyampaikan amanat Menteri Pendidikan Tinggi daripada Majlis Perutusan Tahun Baharu KPT 2025 yang telah berlangsung pada 9 Januari 2025.

474027338 1099379528653340 239475924967027169 n   473904886 1099379215320038 4497642495101199004 n

Antara tujuh fokus utama tahun 2025 yang telah disebutkan adalah penyediaan bakat terbaik negara, yang merupakan salah satu tugas utama MyGRAD sebagai Jawatankuasa Kerjaya Universiti Awam, seperti pemerkasaan Industry on Campus (IoC).

Sementara itu, Pengerusi MyGRAD merangkap Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UTeM, Profesor Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif berkata, bagi tahun 2025 ini, dua program utama yang akan diadakan adalah "Global Conference on Graduate Employability and Development (GRAND)" dijangka akan dilaksanakan pada bulan Ogos ini manakala Festival of Ideas kali kedua yang merupakan kesinambungan daripada kejayaan edisi pertama program tersebut.

“Saya difahamkan acara tahun ini akan lebih meriah dan mencabar, memandangkan MyGRAD juga akan terlibat dalam tiga lagi program besar yang lain.

“Saya yakin dengan komitmen semua pihak, kita akan terus mencipta kejayaan dan mengangkat nama MyGRAD ke tahap yang lebih tinggi,” ujarnya lagi.

Teks & foto: NirMaryadi Rashid, Unit Media dan Penerbitan BHEPA USM

  • Created on .
  • Hits: 218

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024