USM, YAYASAN HASANAH BERGANDING BAHU UNTUK ‘PROGRAM ANAK KITA’: LANGKAH PROGRESIF ATASI KECICIRAN PENDIDIKAN
PULAU PINANG, 23 Januari 2025 – Program Anak Kita, inisiatif kolaboratif antara Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), dan Yayasan Hasanah, dilaksanakan serentak di Kedah dan Terengganu baru-baru ini bagi menangani isu keciciran serta meningkatkan pencapaian pendidikan di Malaysia.
Program ini menekankan aspek literasi dan numerasi dalam kalangan pelajar sekolah rendah serta bertujuan meningkatkan kadar kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan membantu pengintegrasian semula pelajar yang tercicir ke dalam sistem pendidikan arus perdana.
Salah satu inisiatif utama di bawah program ini ialah Tuisyen SPM 2025, yang dilaksanakan dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) bagi membantu calon SPM meningkatkan pemahaman akademik dan memperkukuh teknik menjawab peperiksaan.
Selain kelas bimbingan berstruktur, para pelajar juga menerima tablet pendidikan lengkap dengan pelan data percuma selama 13 bulan hasil kerjasama CelcomDigi Berhad, bertujuan menyokong pembelajaran digital serta memastikan akses pendidikan tanpa halangan.
Keberkesanan sinergi kerjasama dalam sektor pendidikan dibuktikan melalui Program Anak Kita: Tuisyen SPM 2025 (USM), yang diharapkan dapat memperkasa pelajar kurang berkemampuan serta membawa impak positif kepada pembangunan pendidikan negara.
Teks: Shafinaz Md Ismail/Foto: Bahagian Jaringan Industri & Masyarakat (BJIM)
- Created on .
- Hits: 267