USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PEMENTASAN BANGSAWAN BUNGA BAKAWALI HIDUPKAN KEMBALI WARISAN SENI PERSEMBAHAN TEATER TRADISI POPULAR

bangsawan poster

USM PULAU PINANG, 14 Januari 2025 – Dewan Budaya Universiti Sains Malaysia (USM) membuka tirai tahun baharu 2025 dengan persembahan teater tradisi Bangsawan Bunga Bakawali.

Skrip asal adalah hasil karya Allahyarham Puan Aminah Nani, seorang Primadona Bangsawan tersohor lewat 1930-an dahulu.

Persembahan ini akan menemui khalayak khususnya peminat dan penggemar teater bangsawan bermula 17, 18 dan 19 Januari 2025, jam 8.30 malam bertempat di Auditorium Dewan Budaya USM.

Pementasan Bangsawan ini adalah bersempena Program Semarak Bangsawan USM yang juga merupakan projek di bawah geran Artfast Yayasan Hasanah dengan disokong oleh Bahagian Jaringan Industri dan  Masyarakat (BJIM) USM.

Bangsawan Bunga Bakawali diarahkan oleh Norhelmi Othman yang merupakan Ketua Pegawai Kebudayaan di Dewan Budaya USM.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed turut merakamkan rasa bangganya dan menyokong penuh Program Semarak Bangsawan yang dianjurkan oleh Dewan Budaya USM itu.

“Semoga usaha murni ini berterusan dan dapat menghidupkan semula Bangsawan sebagai warisan seni persembahan tradisi popular di negeri Pulau Pinang,” katanya.

Tambah beliau, “Syabas dan tahniah diucapkan kepada seluruh tenaga produksi Bangsawan Bunga Bakawali yang bertungkus lumus menjayakan pementasan selama 3 hari ini.”

Bangsawan Bunga Bakawali merupakan kisah epik Putera Tajul Muluk, yang merentas pengembaraan penuh magis ke Taman Balkis yang memukau. Di sebalik keindahan taman itu, terselit bahaya yang mengintai, halangan yang menduga, dan pengkhianatan yang tak terduga.

Sejarah ringkas

Bangsawan merupakan seni persembahan teater tradisi yang telah lama bertapak di Pulau Pinang iaitu sekitar tahun 1880-an.

Pusi Indera Bangsawan of Penang merupakan Kumpulan Bangsawan Pulau Pinang yang pertama yang telah diasaskan oleh Mamak Pushi (atau Mohamad Pusi) yang merupakan orang kaya keturunan Jawi Pekan di Pulau Pinang.

Kemunculan dan kepopularan bangsawan yang bermula di Pulau Pinang itu semakin mendapat tempat di hati khalayak dan tersebar luas ke bandar-bandar besar di Nusantara seperti di Singapura dan Indonesia khususnya di Jawa dan Sumatera.

Wayang bangsawan ini digemari dan sangat dikagumi kerana jalan cerita yang mengasyikkan, aksi lakonan dan nyanyian yang menghiburkan selain ketampanan orang muda dan kejelitaan primadona bangsawan.

🎟️ Tiket boleh didapati di: Bangsawan Bunga Bakawali https://www.cloudjoi.com/shows/2719-bangsawan-bunga-bakawali

🎟️ Harga Tiket:

 🧝🏻‍♀️Puteri Bakawali: RM 35.00

 🧝🏻Tajul Muluk: RM 25.00

 🧝🏻‍♂️Rakyat Jelata (Pelajar): RM 15.00

Sumber: Dewan Budaya USM/Suntingan: Tan Ewe Hoe

  • Created on .
  • Hits: 100

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024