USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

RINTIS 2025: “UNFOLD”, MANIFESTASI KREATIVITI DAN INSPIRASI DUNIA INOVASI PELAJAR SENI USM

USM PULAU PINANG, 15 Januari 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) meraikan acara tahunan, Program RINTIS 2025 dengan tema "Unfold", sebuah pameran projek tahun akhir yang memperlihatkan transformasi dan kreativiti pelajar seni reka bentuk.

Program ‘flagship’ Pusat Pengajian Seni, USM, ini mengetengahkan hasil karya 103 pelajar dari tiga bidang: Grafik Komunikasi, Reka bentuk dan Teknologi Media Baharu, dan Reka Bentuk Produk.

WhatsApp Image 2025 01 15 at 13.38.41

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, yang mengucapkan tahniah dan syabas, serta menyeru pelajar untuk terus mencipta karya yang memberi manfaat praktikal kepada masyarakat.

Menurut beliau, “Pihak pengurusan sentiasa menyokong usaha gigih para pelajar. Saya menyeru agar semua pelajar terus menonjolkan nilai kreativiti dan pengilmuan seni untuk menghasilkan karya yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat luar, bukan sahaja dari segi estetik, tetapi juga dari segi praktiknya.”

"Kreativiti adalah kunci untuk menghasilkan inovasi yang dapat membawa perubahan positif," katanya lagi.

WhatsApp Image 2025 01 15 at 13.38.42

Dekan Pusat Pengajian Seni, Profesor Madya Dr. Muhizam Mustafa, turut menyampaikan ucapan yang menggariskan peranan RINTIS sebagai simbol inovasi dan kelestarian.

“RINTIS lebih daripada sekadar pameran; ia mencerminkan usaha gigih pelajar serta menonjolkan nilai kelestarian dan inovasi yang sangat penting dalam dunia hari ini,” ujar Muhizam.

Tambah beliau, “Saya menghargai usaha semua pihak yang telah menjayakan acara ini dan mengiktiraf sumbangan besar pensyarah serta staf universiti dalam membentuk dan menggilap bakat pelajar.”

WhatsApp Image 2025 01 15 at 13.38.43

Pengarah Projek RINTIS 2025, Amirul Azmi Che Jamil, yang juga pelajar tahun akhir, dalam ucapan penuh semangatnya, menggambarkan bahawa "Unfold" adalah simbolik kepada perjalanan transformasi pelajar dari asas pembelajaran kepada penciptaan karya seni yang kompleks dan bermakna.

“Pameran ini adalah bukti semangat dan ketekunan kami sebagai pelajar seni. Ia adalah platform untuk kami berkongsi impian dan hasil usaha kepada masyarakat,” ujar beliau dengan penuh rasa bangga dan syukur atas sokongan pelbagai pihak dalam menjayakan acara ini.

Sementara itu, Penasihat Program RINTIS 2025, Dr. Naimah Musa menyifatkan acara ini sebagai manifestasi kreativiti pelajar yang menjangkaui sempadan seni.

“RINTIS bukan sekadar pameran; ia adalah sebuah cerita, visi, dan keberanian untuk menyampaikan idea yang mampu memberi inspirasi dan mengubah pemikiran,” kata Naimah.

Beliau turut menjelaskan, “RINTIS, yang bermaksud Research Innovation Towards Integration and Sustainability, melambangkan nilai-nilai penting seperti kelestarian, inovasi, dan kerjasama.”

“Nilai-nilai ini bukan sahaja memandu peranan pameran ini, tetapi juga mencerminkan aspirasi pelajar yang mencurahkan jiwa dan raga mereka dalam setiap hasil karya,” jelasnya.

Katanya lagi, dengan tema "Unfold", RINTIS 2025 mencerminkan perjalanan pelajar sebagai seperti seni lipatan origami, melambangkan pertumbuhan, penemuan, dan kepelbagaian kreativiti.

WhatsApp Image 2025 01 15 at 13.38.45

Antara tetamu kenamaan yang turut hadir ialah Konsul Jeneral Kehormat Negara Pakistan, Dato’ Seri Dr. Hj. Abdul Rafique Abdul Karim; Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat USM, Profesor Dr. Azlan Amran; Profesor Madya Kehormat, Pusat Penyelidikan Dasar, USM merangkap Penasihat, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Pulau Pinang, Dato’ Dr. P. Sundramoorthy Pathmanathan; dan Ketua Unit Inovasi, Jabatan Khidmat Pengurusan, Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Tpr. Zuraini Mat Rasit.

Pameran RINTIS 2025 berlangsung selama tiga hari dari 14 hingga 16 Januari 2025 di Pusat Pengajian Seni, USM, dan adalah terbuka kepada warga kampus dan luar kampus.

Teks: Shafinaz Md Ismail/Foto: Mohd Fairus Md Isa & Muhamad Faris Darwisy Muhamad Rafiq 

  • Created on .
  • Hits: 98

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024