USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MPP USM BUKTIKAN KEUPAYAAN URUS DANA DENGAN TELUS

USM PULAU PINANG, 7 Januari 2025 – Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Malaysia (USM), Muhamad Arif Esa, menyambut baik saranan Menteri Pendidikan Tinggi, Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, untuk memperkasakan autonomi pelajar melalui pembukaan akaun kewangan sendiri bagi MPP.

Langkah ini dilihat sebagai satu transformasi besar dalam pengurusan kewangan pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT).

Menurut Muhamad Arif, pembukaan akaun kewangan MPP bukan sahaja memberikan kebebasan kepada pelajar untuk menguruskan dana mereka secara lebih efektif, malah menanamkan nilai tanggungjawab dan integriti dalam kalangan pemimpin pelajar.

Saranan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk memberi lebih banyak autoriti/autonomi kepada pelajar, sejajar dengan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang memberi ruang kepada MPP untuk memiliki akaun bank sendiri.

Melalui akaun ini, MPP dapat menerima sumbangan daripada pihak luar dan menjalankan perbelanjaan bagi aktiviti pelajar tanpa bergantung sepenuhnya kepada pihak universiti.

Namun begitu, Muhamad Arif turut menekankan keperluan kepada pengurusan kewangan yang telus dan berkesan bagi mengelakkan sebarang ketirisan atau salah guna dana.

“Kami sedang merangka garis panduan yang jelas dan SOP khusus untuk memastikan semua transaksi kewangan dapat diaudit dengan teliti. Ini adalah usaha untuk memastikan integriti dalam pengurusan dana pelajar,” tambah beliau.

MPP USM juga merancang untuk mengadakan sesi taklimat kepada semua persatuan pelajar bagi menerangkan prosedur pembukaan akaun serta kaedah pengurusan dana.

Selain itu, satu sesi Parlimen Mahasiswa akan diadakan pada 11 Januari ini yang akan membentangkan status kewangan semasa, prosedur permohonan dana dan pelan pengagihan peruntukan kepada persatuan.

“Komunikasi yang berkesan amat penting dalam memastikan semua pihak faham dan bersedia untuk menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Dengan adanya keterbukaan ini, kami yakin bahawa setiap sen yang dibelanjakan akan memberi manfaat maksimum kepada mahasiswa,” kata beliau.

Pagi ini berlangsungnya majlis simbolik penyerahan akaun bank oleh pihak RHB Bank kepada MPP USM di kampus induk USM.

Turut hadir menyaksikan majlis itu, Naib Canselor USM, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin serta beberapa wakil daripada RHB Bank.

Teks: Adam Hafiz Ahmad/Foto: Ashrul Aizad Azmi (CommMinds @MPRC, USM)

  • Created on .
  • Hits: 40

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024