#PROJEKBFF: PEMERKASAAN KEMAHIRAN DIGITAL PESARA USM DENGAN SEMANGAT PERSAHABATAN INTERGENERASI
USM PULAU PINANG, 9 Januari 2025 – Baru-baru ini Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya melaksanakan #ProjekBFF, satu inisiatif yang mengangkat martabat warga emas dalam kalangan pesara USM melalui pemerkasaan kemahiran digital berasaskan persahabatan intergenerasi.
#ProjekBFF, singkatan kepada Bonding, Fit dan Fun, diterajui oleh pensyarah dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM, Dr. Nur Hafeeza Ahmad Pazil bersama pasukan akademik dan staf sokongan.
Ketika menyempurnakan majlis perasmian penutup program ini, Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat USM, Profesor Dr. Azlan Amran menzahirkan sokongan universiti terhadap usaha mendigitalisasikan komuniti warga emas.
Menurutnya, latihan yang diterapkan sepanjang program membantu pesara USM mengadaptasi kemahiran digital ke dalam kehidupan seharian mereka.
“Projek ini membuktikan komitmen USM terhadap pembangunan komuniti inklusif serta menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), termasuk SDG 3 (Kesihatan yang Baik), SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), dan SDG 10 (Pengurangan Ketidaksamaan),” kata Azlan.
Nur Hafeeza berkata, projek ini yang bermula pada bulan Ogos 2024, melibatkan 15 pesara USM daripada Kelab Jasa Budi USM dan 8 pelajar Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, dengan sokongan Geran Libatsama Universiti-Komuniti Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM.
Jelasnya, projek ini melangkaui latihan digital dengan menyuntik elemen kesihatan dan interaksi sosial melalui tiga fasa utama:
- Bonding: Latihan kemahiran digital seperti pembayaran dalam talian menggunakan MAE serta penggunaan Grab dan kod QR.
- Fit: Pemantauan kesihatan melalui jam pintar dan perkongsian gaya hidup sihat di TikTok.
- Fun: Permainan tradisional dan digital untuk memupuk hubungan intergenerasi.
“Melalui inisiatif ini, pesara USM tidak hanya memperoleh kemahiran digital tetapi juga berperanan sebagai pelatih kepada warga emas lain, sekali gus mengukuhkan impak sosial dan menangani jurang digital,” ujar Nur Hafeeza.
Majlis penutup diserikan dengan aktiviti “Seiring dan Sejalan,” yang menyaksikan peserta menggunakan teknologi seperti aplikasi pemantauan kesihatan dan kod QR sepanjang aktiviti berjalan kaki.
Untuk maklumat lanjut dan kerjasama, boleh menghubungi Dr. Nur Hafeeza Ahmad Pazil di
Teks: Dr. Nur Hafeeza Ahmad Pazil, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM/Suntingan: Shafinaz Md Ismail
- Created on .
- Hits: 147