SULALAH PERADABAN MELAYU 4.0: KUPAS RAHSIA TAMADUN KEDAH TUA DAN PERTEGUH NILAI BUDAYA BANGSA MELAYU
USM PULAU PINANG, 4 Januari 2025 – “Sejarah dan peradaban Melayu merupakan elemen penting dalam pembinaan identiti dan perpaduan bangsa, dan saya yakin generasi muda akan lebih memahami warisan budaya, menghayati perjuangan nenek moyang, serta mengukuhkan semangat cinta terhadap negara Malaysia.”
Demikian ujar Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin yang mewakili Naib Canselor USM, ketika merasmikan program Sulalah Peradaban Melayu 4.0 anjuran Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia USM (PSSCMUSM) bertempat di Dewan Pembangunan Siswa 1, KOMCA.
Kata Shaharum, “Sulalah Peradaban Melayu 4.0 yang diadakan pada kali ini dirangka dengan matlamat untuk mengangkat kembali nilai-nilai sejarah dan peradaban Melayu yang menjadi teras kepada identiti kita.”
“Sejarah bukan sahaja kisah lalu tetapi, khazanah yang perlu kita pelihara dan ia mengajar kita tentang erti perjuangan, perpaduan, dan keberanian nenek moyang kita dalam membina sebuah tamadun yang gemilang,” tambah beliau.
Turut hadir dalam program tersebut adalah Guru Utama dan Presiden Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia, Datuk Haji Maideen Kadir Shah; Pengarah Pusat Rancangan Kokurikulum USM, Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Mohd Hazizan Mohd Hashim; YDP PSSCM Caw. P. Pinang merangkap Naib Presiden 1 PSSCM, Ar. Dr. Haji Ab Majid Ismail; Penasihat 1 PSSCMUSM merangkap Ketua Penyelaras Kokurikulum Kebudayaan Seni Silat Cekak Malaysia USM, Profesor Madya Ts. Dr. Abdul Hafiz Abdul Majid; barisan pegawai dan Sekretariat PSSCMUSM serta tetamu kenamaan lain.
Dalam pada itu, Haji Maideen dalam ucapannya, turut menzahirkan kepada tetamu yang hadir bahawa kita jangan sesekali lupa kepada asal usul kita kerana sanad itu sangat penting demi menjayakan keaslian dan pembangunan manusia dari segi rohani dan jasmani.
“Kita dibesarkan dengan ilmu dan amal, melaluinya kita dapat berkongsi ilmu yang dapat memberi manfaat dan rahmat kepada seluruh isi alam,” katanya.
Sementara itu, menurut Abdul Hafiz pula, dalam program kali ini, kita akan merayakan pra-pelancaran Jubli Emas (50 tahun) Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia, yang mana ia ditubuhkan di USM pada 26 Februari 1976.
“Pada awalnya, hanya pelajar lelaki yang diterima, tetapi pada sidang akademik 1981/1982, kelas pertama untuk wanita telah diwujudkan di USM.
“Sebagai satu usaha untuk membentuk masyarakat yang unggul adalah melalui Rancangan Kokurikulum Seni Silat Cekak Malaysia yang dilaksanakan di ketiga-tiga kampus utama USM dan telah diiktiraf sebagai mata pelajaran kokurikulum bernilai 6 unit/kredit sejak sidang akademik 1991/1992 hingga kini,” ujarnya lagi.
Pengisian aktiviti utama 1 telah menampilkan dua tokoh ilmuan melalui pembentangan Wacana Peradaban Melayu dengan membawa tajuk Kedah Tua: Menelusuri Sejarah dan Kebudayaan Purba di Semenanjung Tanah Melayu (Dr. Nasha Rodziadi Khaw) dan Perjuangan Bangsa Melayu: Menyingkap Sejarah yang Terpendam (Profesor Madya Dr. Azmi Arifin).
Aktiviti utama 2 iaitu Malam Sayembara Warisan akan diteruskan nanti dengan pelbagai pertandingan, sketsa dan persembahan jemputan.
Teks & Foto: NirMaryadi Rashid, Unit Media dan Penerbitan BHEPA
- Created on .
- Hits: 59