USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM TERAJUI PEMBERDAYAAN DAN TRANSFORMASI MELALUI PARLIMEN MAHASISWA

USM PULAU PINANG, 11 Januari 2025 – Parlimen Mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) secara rasmi memulakan sesi pertamanya bagi Sidang Akademik 2024/2025 dengan majlis perasmian yang berlangsung di Dewan Persidangan Universiti USM pagi ini.

WhatsApp Image 2025 01 11 at 19.35.20

Majlis tersebut dirasmikan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, yang menggariskan peranan penting Parlimen Mahasiswa sebagai platform pemberdayaan dan transformasi mahasiswa di USM.

“Parlimen Mahasiswa ini adalah satu langkah penting dalam memupuk kepimpinan, kemahiran berdebat, dan tanggungjawab bersama dalam kalangan mahasiswa, selain menjadi ruang untuk mahasiswa menyuarakan pandangan mereka secara efektif dan berintegriti,” ujar beliau semasa ucapan perasmian.

“Saya mahu Parlimen Mahasiswa ini berfungsi sebagai satu platform yang membolehkan mahasiswa bersuara, berinteraksi, dan berperanan aktif dalam membuat keputusan bersama-sama Universiti. Keputusan-keputusan ini akan memberi kesan besar kepada warganya, terutamanya mahasiswa-mahasiswi di kampus," tambah beliau lagi.

WhatsApp Image 2025 01 11 at 19.35.19 1

Majlis ini mencatat sejarah dengan penjenamaan semula Dewan Perundingan Pelajar (DPP) kepada Parlimen Mahasiswa, berikutan kelulusan yang diperoleh daripada Lembaga Gabenor Universiti pada 18 Disember 2024, yang menurut Naib Canselor mencerminkan komitmen universiti terhadap agenda pemerkasaan mahasiswa serta mendukung nilai-nilai APEX sebagai asas kecemerlangan USM.

Sidang kali ini melibatkan 46 Ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), 46 Ahli Badan Pelajar, 44 Pemerhati, dan wakil baharu daripada komuniti Pelajar Kurang Upaya (PKU).

Hampir 20 usul dijadualkan untuk dibahaskan, dengan tumpuan terhadap isu pembangunan universiti dan pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), termasuk SDG 1 (Tiada Kemiskinan) dan SDG 2 (Kelaparan Sifar).

WhatsApp Image 2025 01 11 at 19.35.19

"Hari ini menandakan bermulanya satu perjalanan penting dalam proses demokrasi kampus, yang akan memberi peluang kepada mahasiswa untuk memainkan peranan sebagai agen perubahan, pemimpin masa hadapan, dan warganegara yang bertanggungjawab," ujar Abdul Rahman menutup ucapannya, mengingatkan para mahasiswa tentang tanggungjawab mereka dalam membentuk masa depan negara.

Selain itu, beliau berharap agar mahasiswa dapat memanfaatkan peluang dalam Parlimen Mahasiswa ini untuk memperkukuhkan asas kepimpinan mereka.

“Kemahiran yang diperoleh melalui platform ini sangat berharga, bukan sahaja dalam konteks akademik tetapi juga dalam dunia pekerjaan,” tambahnya lagi.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin; Yang Dipertua MPP USM, Muhamad Arif Esa; serta pegawai-pegawai utama universiti.

“Perubahan kecil, impak besar” – inilah harapan Naib Canselor terhadap Parlimen Mahasiswa USM sebagai sebuah platform dinamik untuk membentuk generasi mahasiswa berkualiti dan bersedia menghadapi cabaran global.

Teks: Shafinaz Md Ismail/Foto: En. Shahnizam Ab Rahim

  • Created on .
  • Hits: 123

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024