USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PERUTUSAN YBM KPT: "2024 TAHUN CEMERLANG, 2025 HARAPAN GEMILANG”

UTM SKUDAI, JOHOR, 9 Januari 2025 – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memulakan Majlis Perutusan Tahun Baharu 2025 dengan visi dan misi yang lebih kukuh, sebagaimana yang digariskan oleh YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi, dalam perutusan yang disampaikan pagi ini di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Dengan tema "Resilient Nation Builders for a Harmonious, Prosperous, Advanced, and Sustainable Future", beliau menekankan pentingnya daya tahan dan inovasi dalam membentuk masa depan pendidikan tinggi negara.

WhatsApp Image 2025 01 09 at 17.25.00 1

Dalam perutusannya itu, YBM Zambry turut mengalu-alukan peningkatan peruntukan sebanyak 10.76%, menjadikan Bajet 2025 untuk KPT berjumlah RM18.1 bilion.

"Peruntukan ini bukan sahaja menunjukkan komitmen kerajaan, tetapi juga menjadi asas pelaksanaan pelbagai program untuk meningkatkan daya saing institusi pengajian tinggi (IPT)," ujar beliau.

YBM Zambry turut menggesa akademia, pelajar, dan industri untuk bersama-sama merealisasikan agenda transformasi pendidikan tinggi.

Menurut beliau, "Usaha kolektif amat penting dalam menghadapi cabaran global, sekali gus memastikan Malaysia terus unggul di peringkat antarabangsa."

Beliau menambah, "Dengan hala tuju yang jelas, KPT komited untuk melahirkan generasi yang lebih kompeten, berdaya tahan, dan berintegriti dalam mendepani era baharu."

Imbasan 2024: Pencapaian Mengukuhkan Asas

Tahun 2024 mencatat pelbagai pencapaian yang membanggakan, antaranya:

  • Penubuhan Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) pertama di UTM.
  • Pelancaran program International Young Future Leaders Summit (iFUTURE).
  • Pemerkasaan program Pembelajaran Berasaskan Kerja (WBL) dan Program KARISMA.
  • Festival Idea Putrajaya (FOI 2024) yang memartabatkan inovasi dan kreativiti dalam kalangan pelajar.
  • Peningkatan sokongan kewangan bagi pelajar melalui bantuan baucar buku dan peningkatan kualiti capaian internet di universiti awam.

WhatsApp Image 2025 01 09 at 17.25.00

Hala Tuju 2025: Tujuh Fokus Utama

Memasuki tahun 2025, KPT menetapkan tujuh (7) fokus strategik bagi memastikan transformasi pendidikan tinggi dapat dilaksanakan dengan lebih mampan dan berkesan:

1.   Penyediaan Bakat Terbaik Negara: Memperkenalkan modul AI dalam kurikulum serta memperkasakan program Industry on Campus (IoC).

2.  Kewibawaan Akademia dan Warga Kampus: Memperkenalkan repositori kepakaran IPT, latihan sabatikal industri, dan program berstruktur bagi akademia serta pentadbir (KARISMA).

3.   Pemindahan dan Perkongsian Ilmu: Melalui program Stackable Degree dan penglibatan komuniti seperti program Sejahtera MADANI.

4.   Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi: Mempromosikan Malaysia sebagai hub pendidikan tinggi ASEAN.

5.   Governan dan Kepemimpinan: Memastikan tadbir urus IPT lebih berdaya saing dan kompeten.

6.   Kemampanan Kewangan IPT: Melalui pendigitalan kampus, sumbangan endowmen, dan wakaf.

7.  Infrastruktur, Digital dan Kesejahteraan Kampus: Melibatkan inisiatif Green Campus dan program kesejahteraan mental serta fizikal.

Secara keseluruhannya, Majlis Perutusan Tahun Baharu 2025 ini menekankan komitmen KPT dalam memastikan pendidikan tinggi negara kekal berdaya saing, mampan, dan inovatif.

Dengan pencapaian cemerlang pada 2024 dan tujuh fokus utama untuk 2025, KPT terus mengorak langkah ke arah masa depan yang lebih gemilang.

Teks: Shafinaz Md Ismail/Foto: Mohd Fairus Md Isa & Muhamad Faris Darwisy Mohammad Rafiq

  • Created on .
  • Hits: 223

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024