MAJLIS SIMBOLIK PENYERAHAN AKAUN BANK RHB KEPADA MPP USM SESI 2024/2025
USM PULAU PINANG, 7 Januari 2024 – Majlis simbolik penyerahan akaun bank oleh pihak RHB Bank kepada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Malaysia (USM) telah berlangsung dengan jayanya hari ini.
Inisiatif tersebut dijangka memperkukuh pengurusan kewangan MPP, sekali gus memastikan kecekapan, ketelusan, dan keberkesanan dalam perancangan kewangan yang memberi manfaat kepada mahasiswa USM.
Penyerahan akaun tersebut bukan sekadar urusan kewangan tetapi juga menjadi simbol tanggungjawab dan autonomi pelajar dalam mentadbir organisasi mereka sendiri, seiring dengan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) pada bulan Oktober lepas (2024).
Di bawah AUKU, pelajar diberikan kebebasan terhad untuk melibatkan diri dalam aspek pentadbiran universiti, termasuk pengurusan dana dengan penuh akauntabiliti.
Langkah itu diharap dapat meningkatkan kemahiran kepimpinan dan memberi pengalaman sebenar kepada pemimpin pelajar.
Kerjasama erat antara RHB Bank dan USM dalam menyediakan kemudahan kewangan yang sesuai turut memainkan peranan penting dalam menyokong keperluan pelajar universiti.
Majlis tersebut mencerminkan komitmen MPP untuk memperkasakan mahasiswa melalui pelbagai inisiatif strategik yang menyumbang kepada kecemerlangan universiti.
MPP USM menegaskan bahawa mereka akan terus berusaha untuk memastikan hak dan kebajikan mahasiswa sentiasa menjadi keutamaan.
Majlis tersebut disempurnakan dengan kehadiran Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; bersama Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin; wakil RHB Bank yang diketuai oleh Pengurus Cawangan RHB Bayan Point, Ong Chai Hock; serta barisan kepimpinan MPP USM diketuai Yang Dipertua MPP, Muhamad Arif Esa.
Teks: Shafinaz Md Ismail/Foto: Shahnizam Ab Rahim
- Created on .
- Hits: 103