LIMA DEKAD CPR: UTUH MENERAJU KAJIAN SOSIO-EKONOMI DAN BERI IMPAK KEPADA NEGARA
PULAU PINANG, 7 Januari 2024 – Tahukah anda, Pusat Penyelidikan Dasar (CPR) Universiti Sains Malaysia (USM) merupakan perintis dalam projek mikro kredit di Malaysia?
Usaha ini melahirkan Amanah Ikhtiar dan TEKUN, yang kini menjadi model nasional bagi pembasmian kemiskinan.
Hari ini, CPR meraikan setengah abad keberhasilan sebagai jambatan antara universiti dan masyarakat.
Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-50 CPR berlangsung di Hotel St. Giles Wembley di sini dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, TYT Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Haji Abdul Razak, yang turut menyempurnakan majlis perasmian sambutan tersebut. Mengiringi TYT Tun ialah YABhg. Toh Puan Dato’ Seri Utama Khadijah Mohd Nor.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, dalam ucapannya, menyerlahkan sumbangan CPR dalam merintis kajian sosio-ekonomi yang terus relevan hingga kini.
“Sejak penubuhannya pada tahun 1974, CPR telah menghasilkan kajian impak yang menilai keberkesanan dasar-dasar kerajaan.
“Usaha ini tidak hanya memartabatkan ilmu akademik, tetapi juga memberi manfaat kepada masyarakat secara langsung, menjadikannya pemacu utama perubahan sosial di Malaysia,” katanya.
Majlis sambutan tersebut mengiktiraf legasi lima dekad CPR dalam penyelidikan dasar, sambil menggariskan visi untuk terus menjadi peneraju inovasi sains sosial dalam dekad-dekad mendatang.
CPR merupakan pusat penyelidikan sains sosial yang pertama di Malaysia yang melaksanakan kajian-kajian berimpak tinggi untuk agensi kerajaan.
Teks: Shafinaz Md Ismail/Foto: Mohd Fairus Md Isa & Muhamad Faris Darwisy Muhamad Rafiq
- Created on .
- Hits: 76