USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

‘BAYI AJAIB’ TSUNAMI: THULAASI CEMERLANG DALAM PERAKAUNAN DI USM

bayi tsunami

USM PULAU PINANG, 31 Disember 2024 – Dua dekad telah berlalu sejak kejadian tsunami dahsyat yang melanda dan memusnahkan petempatan berhampiran pantai di pinggir Lautan Hindi pada 26 Disember 2004, namun kisah ‘bayi ajaib’ tsunami, Thulaasi Suppiah, kekal menjadi simbol harapan dan keajaiban.

Thulaasi, yang ketika itu hanya berusia 22 hari, menjadi perhatian dunia apabila terselamat dengan cara luar biasa – dihanyutkan ombak tsunami sejauh hampir satu kilometer sebelum kembali ‘dihantar’ ke pantai oleh gelombang besar tersebut.

Kisah Thulaasi yang kemudian digelar ‘bayi ajaib’ oleh media menjadi perhatian dunia.

Kini, pada usia 20 tahun, beliau sedang melakar kecemerlangan akademik sebagai pelajar Ijazah Sarjana Muda Perakaunan di Pusat Pengajian Pengurusan, Universiti Sains Malaysia (USM).

Ketika dihubungi melalui aplikasi Whatsapp, Thulaasi menyingkap kembali kisah yang diceritakan oleh keluarganya dan menyatakan rasa syukur atas keajaiban yang menyelamatkan nyawanya.

“Saya amat bersyukur diberi peluang untuk hidup dan menuntut ilmu di USM. Ia adalah anugerah yang tidak ternilai,” ujar Thulaasi lagi. “Saya berharap dapat memberi kembali kepada masyarakat melalui bidang perakaunan yang saya ceburi.”

Anak kedua itu berkata, beliau mula mengetahui kisah tsunami yang diceritakan oleh bapanya semasa berumur dalam lingkungan 4 dan 5 tahun, dan bapanya juga sering menitipkan nasihat agar dia menjadi seorang yang akan membantu sesiapa saja di kala kesusahan tanpa mengira umur.

Pada pagi malapetaka itu, Thulaasi ada bersama keluarganya di kawasan pesisir pantai Batu Feringghi, tempat bapanya, A. Suppiah menjalankan perniagaan kafe di Pantai Miami.

Tsunami, yang berpunca daripada gempa bumi berskala besar di Lautan Hindi, melanda tanpa amaran, memusnahkan rumah dan membawa bayi kecil yang sedang nyenyak tidur di tilam ke tengah laut.

Menurut saksi, apabila datang gelombang kedua, ombak seterusnya mendamparkan beliau kembali ke pantai dan ditemui selepas 40 minit.

Tsunami membadai beberapa kawasan utama di utara Semenanjung Malaysia, dan Pulau Pinang ialah antara negeri paling terjejas yang mencatatkan 52 daripada 68 korban di seluruh negara.

Teks: Shafinaz Md Ismail/Foto: Metro

  • Created on .
  • Hits: 138

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024