PPUSMB PERKENAL SISTEM IQM, TEKNOLOGI PERTAMA DI ASIA TENGGARA TINGKATKAN KESELAMATAN RAWATAN KANSER
BERTAM, 2 Januari 2025 – Pusat Perubatan Universiti Sains Malaysia Bertam (PPUSMB) buat julung kalinya memperkenalkan sistem Integral Quality Monitor (IQM), suatu teknologi baharu dan lebih maju untuk memastikan keselamatan rawatan radioterapi bagi pesakit kanser mencapai tahap penjagaan tertinggi.
Kejayaan ini menjadikan PPUSMB sebagai pusat radioterapi pertama di Asia Tenggara yang menggunakan teknologi terkini untuk meningkatkan proses jaminan kualiti dalam rawatan terapi radiasi yang canggih.
Menurut pensyarah dan penyelidik dalam bidang Fizik Perubatan, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) USM, Profesor Madya Dr. Mohd Hafiz Mohd Zin, sistem IQM ini akan memastikan ketepatan rawatan radioterapi terhadap sel-sel kanser secara lebih tepat sambil melindungi tisu sihat, membawa kepada hasil yang lebih baik dengan kesan sampingan yang lebih rendah.
“Teknologi canggih ini membawa perubahan besar dalam rawatan kanser kerana sistem ini memantau ketepatan dos radiasi secara masa nyata, mengurangkan risiko dan memastikan setiap rawatan dilaksanakan mengikut perancangan oleh Pakar Onkologi Radiasi dan Ahli Fizik Perubatan,” tambahnya.
Jelasnya, sistem ini mengesahkan pancaran radiasi secara serta-merta dengan menggunakan pengesan yang direka khas, yang mampu menjalankan pemeriksaan keselamatan secara efisien ketika rawatan sedang dijalankan.
“Sistem ini juga akan meningkatkan penyelidikan dalam bidang fizik perubatan dan onkologi radiasi dengan menyelidik kaedah baharu untuk mengoptimumkan keselamatan penyampaian rawatan radioterapi,” kata Mohd Hafiz.
Manakala Ketua Fizik Perubatan, IPPT USM, Nursyatina Abdul Raof, yang mengetuai projek naik taraf sistem radioterapi ini berkata, sistem ini juga membolehkan banyak pemeriksaan keselamatan dilakukan secara automatik, yang sebelum ini dilakukan secara manual oleh ahli fizik perubatan, membolehkan perawat memberi tumpuan kepada pelan rawatan pesakit sambil mempercepatkan proses rawatan.
Katanya lagi, pakar Produk iRT yang berpangkalan di Koblenz, Jerman, Beghdad Zoghi, turut menyatakan kegembiraannya kerana Malaysia kini menyertai konsortium pusat kanser utama dunia yang melaksanakan teknologi ini.
Sementara itu, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, pada sesi lawatannya bagi melihat sistem ini, turut menyuarakan harapannya supaya dengan pelaksanaan alatan pertama di Asia Tenggara yang dimiliki USM, pusat ini dapat meningkatkan kapasiti untuk merawat lebih ramai pesakit, sejajar dengan visinya untuk menjadi pusat rujukan kanser di wilayah utara serta salah satu pusat pendidikan dan latihan utama dalam bidang onkologi.
Teknologi terkini ini memperlihatkan dedikasi USM untuk menyediakan penjagaan kanser bertaraf dunia, membawa harapan dan meningkatkan kualiti hidup pesakit serta keluarga mereka.
Dengan penggunaan alat IQM ini, USM sentiasa mengukuhkan komitmen negara untuk menetapkan piawaian baharu dalam kecemerlangan penjagaan kesihatan di negara ini.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: IPPT dan PPUSMB
- Created on .
- Hits: 218