NAIB CANSELOR RASMI SAMBUTAN MINGGU KELESTARIAN PERINGKAT IPPT DAN PPUSMB
BERTAM, 31 Disember 2024 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed baru-baru ini telah merasmikan sambutan Minggu Kelestarian peringkat Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) dan Pusat Perubatan Universiti Sains Malaysia Bertam (PPUSMB) yang telah berlangsung di PPUSMB.
Dengan bertemakan ‘Budayakan amalan kelestarian demi kesejahteraan warga USM’, program yang berlangusng selama seminggu bermula 16 sehingga 20 Disember 2024 lalu berobjektif untuk meningkatkan kesedaran warga IPPT, PPUSMB dan USM, serta komuniti setempat terhadap kepentingan biodiversiti, aktiviti kelestarian, penjagaan alam sekitar dan pengurusan sisa.
Ini termasuk menggalakkan warga USM dan komuniti setempat mengamalkan konsep pengasingan sisa sekaligus meningkatkan kesedaran dan penglibatan mereka dalam aktiviti pengurangan sisa.
Abdul Rahman dalam ucapannya berkata, USM sentiasa meletakkan komitmen tinggi dan berterusan terhadap penerapan kelestarian dalam pelbagai aspek yang akan menyumbang kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) yang diiktiraf di peringkat global.
“Pelbagai usaha seperti pengurangan penggunaan plastik, pengurusan sisa yang lestari, penjimatan tenaga, pelaksanaan pelbagai program kesedaran alam sekitar dan program Jualan Lestari giat dijalankan secara berkala dalam usaha untuk mengamalkan konsep 5R iaitu Refuse, Reduce, Reuse, Recycle dan Repurpose,” kata beliau lagi.
Tambah Abdul Rahman, sehingga hari ini IPPT dan PPUSMB telah berjaya mengumpul sejumlah 1.7 tan kertas dan kotak serta 1.5 tan pakaian terpakai melalui program Jualan Lestari, dengan lebih RM 3,700 dana terkumpul yang akan digunakan untuk menyokong aktiviti kelestarian di IPPT dan PPUSMB.
“Saya mengambil peluang ini untuk merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada pihak IPPT dan PPUSMB atas penarafan 5 daun Pejabat Hijau USM 2024 yang diterima baru-baru ini.
“Tahniah dan syabas juga kepada pasukan Aplikasi IT@AMDI atas pembangunan Sistem EcoSustain, sebuah platform yang mempermudahkan pelaksanaan, pemantauan dan perekodan aktivit-aktiviti kelestarian seperti pengurusan bahan kitar semula dan e-waste.
“Saya bangga kerana IPPT dan PPUSMB bukan sahaja memberikan sumbangan dalam bidang kesihatan, penyelidikan dan pendidikan, tetapi turut menjadi peneraju dalam aspek kelestarian,” kata Abdul Rahman.
Di majlis yang sama, Pengarah IPPT dan PPUSMB, Profesor Madya Dr. Bakiah Shaharuddin berkata, sebagai sebuah institusi perubatan, pendidikan dan penyelidikan, IPPT dan PPUSMB sentiasa menyokong penuh visi USM untuk menjadi sebuah institusi yang menerajui agenda kelestarian.
“Saya amat berbangga dengan pencapaian IPPT dan PPUSMB sepanjang tahun ini dalam melaksanakan pelbagai program kelestarian, seperti Jualan Lestari, Program Kitar Semula, Lawatan Lestari, serta usaha pengurangan penggunaan plastik sekali guna, yang mana secara tidak langsung kesemua aktiviti ini adalah bukti bahawa usaha kecil, apabila digabungkan mampu memberi impak besar kepada kelangsungan alam sekitar,” katanya.
Tambah beliau, IPPT dan PPUSMB akan terus memberikan sokongan penuh terhadap program-program kelestarian di USM. Komitmen ini tidak hanya terhenti di sini tetapi akan diperkukuhkan melalui lebih banyak inisiatif pada masa hadapan.
Di majlis tersebut, Naib Canselor turut berkesempatan melancarkan aplikasi EcoSustain dan meluangkan masa untuk sesi penanaman lima anak pokok sebagai Gimik Perasmian Minggu Kelestarian IPPT dan PPUSMB.
Kemudian beliau dibawa melawat Unit Onkologi dan Radioterapi yang baru menerima peralatan fizik, sistem "Integral Quality Monitor (IQM)" yang pertama di Asia Tenggara dan digunakan bagi ujian jaminan kualiti modaliti pemecut linear, LINAC serta verifikasi dos yang tepat kepada pesakit kanser yang mendapatkan rawatan di sini.
Beliau turut ke Unit Perubatan Nuklear untuk melihat mesin “Positron Emission Tomography With Computed Tomography” atau lebih dikenali sebagai mesin “PET-CT” yang pertama dipasang di USM.
PET-CT merupakan modaliti pengimejan kuantitatif yang utama dalam Perkhidmatan Perubatan Nuklear. Penggunaannya meliputi perkhidmatan klinikal, akademik dan penyelidikan. PET-CT adalah teknologi terkini yang lebih tepat berbanding dengan pengimejan yang lain terutamanya untuk pesakit onkologi bagi menentukan 'cancer staging', 'response to therapy' dan 'surveillance'.
Turut hadir di majlis adalah Timbalan Pengarah Klinikal, Kelestarian dan Piawaian merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kelestarian Kampus, dan Pengerusi Jawatankuasa Minggu Kelestarian Peringkat IPPT dan PPUSMB 2024, Profesor Madya Dr. Noor Khairiah A. Karim; Pegawai-pegawai Utama IPPT dan PPUSMB; Pegawai-pegawai Kelestarian; dan warga staf IPPT dan PPUSMB.
Teks: Nur Aqilah Tajul Ashikin & Sharifah Fawziah Al-Gadri Syed Mahdzor, Pusat Media dan Perhubungan Awam IPPT/Suntingan akhir: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Norizan Ishak, Pusat Media dan Perhubungan Awam IPPT
- Created on .
- Hits: 118