MoA USM – IESCO SOKONGAN BERTERUSAN BUAT PELAJAR GAZA
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 29 Disember 2024 – Universiti Sains Malaysia (USM) dan International Educational Scientific and Cultural Organization (IESCO) hari ini menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) yang bertujuan memberi sokongan kepada pelajar Gaza melalui penajaan pendidikan.
Pemeteraian MoA itu disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat mewakili Naib Canselor USM dan Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Profesor Dr. Abdul Razak Sulaiman bagi pihak USM, manakala IESCO pula diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Ayman Hussain.
Berucap di majlis tersebut, Narimah berkata, MoA yang ditandatangani ini bertujuan untuk memperkukuh penjagaan kesihatan Gaza melalui penajaan pelajar perubatan untuk melanjutkan pengajian di USM.
“Program ‘Strengthening Gaza’s Healthcare: Scholarship for Medical Students from Gaza’ ini dijangka memberi peluang kepada pelajar Gaza untuk menerima pendidikan perubatan berkualiti di Malaysia.
“USM yang kini berada di bawah Program APEX berhasrat untuk terus memperkukuh peranan dalam pendidikan global dengan memberi peluang kepada pelajar dari lebih 80 negara selain bertekad untuk menjadi pemimpin dalam bidang kelestarian dan penyelesaian isu-isu berkaitan masyarakat terpinggir,” katanya.
Tambah Narimah, kerjasama antara USM dan IESCO ini bukan sahaja bertujuan membantu pelajar Gaza, tetapi juga membuka ruang untuk lebih banyak pertukaran pengalaman antara Malaysia dan Palestin.
“Usaha ini diharapkan dapat memperkukuh hubungan dua (2) hala serta mempercepat proses pertukaran pengetahuan dan pengalaman dalam bidang pendidikan.
“Sebagai universiti yang menekankan nilai-nilai kecemerlangan, inovasi dan kerjasama antarabangsa, USM berharap agar MoA ini menjadi platform untuk lebih banyak kerjasama dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan pembangunan komuniti.
“Selain itu, kerjasama ini juga diharap akan memberi manfaat besar kepada kedua-dua pihak dan membuka peluang kepada lebih ramai pelajar untuk berjaya dalam bidang yang diceburi mereka,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Ayman pula berkata, MoA ini merupakan simbol komitmen kedua-dua pihak dalam usaha membantu rakyat Palestin.
“Melalui MoA ini, kita tidak hanya mengukuhkan hubungan antara IESCO dan USM, tetapi juga membantu pelajar perubatan dari Palestin meneruskan pengajian mereka sehingga bergraduat.
“Para pelajar ini merupakan generasi yang akan meneruskan kesinambungan rakyat Palestin untuk menyumbang khidmat dan membantu memulihkan sistem perubatan negara mereka,” jelasnya.
Ayman turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada USM atas sokongan yang tidak berbelah bagi dalam membantu rakyat Palestin.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail; Timbalan Dekan Pengajian Siswazah dan Latihan Ikhtisas PPSP, Profesor Dr. Irfan Mohamad; dan Timbalan Dekan USM-KLE, Profesor Madya Dr. Nik Ahmad Zuky Nik Lah.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 154