OBESITI – ADAKAH UBAT? PERLUKAH UBAT?
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 1 Disember 2024 – Obesiti atau kegemukan dalam masyarakat merupakan penyakit kronik dan satu keadaan apabila seseorang itu mempunyai lemak badan yang berlebihan serta menyebabkan kemudaratan kepada kesihatan.
Terdapat beberapa cara untuk mentakrif obesiti, contohnya dengan mengira indeks jisim badan (body mass index - BMI), berdasarkan peratusan lemak badan, berat badan, ukur lilit dan lain-lain.
Menurut Perunding Klinikal Farmakologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Aida Hanum Ghulam Rasool, di Malaysia BMI melebihi 23 kilogram per meter persegi (kg/m2) diklasifikasikan sebagai mempunyai berat badan berlebihan (overweight), manakala BMI melebihi 27.5 kg/m2 diklasifikasikan sebagai obesiti.
“Malaysia mempunyai kadar obesiti yang tinggi iaitu paling ramai menghidap obesiti berbanding negara lain di Asia Tenggara.
“Menurut tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2023 (NHMS 2023), prevalens penduduk Malaysia yang mempunyai pra-obesiti adalah sebanyak 32.6 peratus (%) dan obesiti ialah 21.8%.
“Hal ini bermakna, seorang (1) dalam setiap dua (2) orang penduduk Malaysia mempunyai berat badan berlebihan dan ini merupakan satu perkara yang membimbangkan kerana obesiti dikaitkan dengan peningkatan risiko penyakit kronik seperti penyakit darah tinggi, diabetes jenis-2, penyakit jantung koronari, penyakit hati berlemak dan masalah kesihatan yang lain,” katanya ketika menyampaikan syarahan dalam Majlis Syarahan Umum Pelantikan Profesor yang berlangsung di Dewan Utama, Kampus Kesihatan, hari ini.
Aida Hanum turut menyarankan agar golongan yang mengalami masalah obesiti mengurangkan berat badan bagi mengelak penyakit berisiko dengan kaedah rawatan.
Jelas beliau, rawatan obesiti merangkumi tiga (3) kaedah iaitu kaedah tidak melibatkan intervensi perubatan (terapi pemakanan, peningkatan aktviti fizikal serta perubahan sikap dan gaya hidup), pengambilan ubat antiobesiti, dan pembedahan bariatrik.
“Kaedah puasa berkala atau ‘intermittent fasting’ (IF) juga boleh menurunkan berat badan.
“Melalui ujian pra-diabetes yang dijalankan oleh pakar penyelidik melalui kumpulan tikus makmal yang diberi makanan beserta minuman manis sehingga obes dan mengalami pra-diabetes, kaedah berpuasa selama enam (6) minggu (dari jam 5 petang hingga 9 pagi) menunjukkan terdapat penurunan berat badan ketara, dan hal ini menunjukkan bahawa puasa berkala boleh menurunkan berat badan dan keadaan pra-diabetes juga dapat dikawal tanpa mengambil ubat,” jelasnya lagi.
Selain itu, Aida Hanum yang juga ibu kepada tiga (3) orang cahaya mata berkata, setiap rawatan mempunyai kebaikan dan kekurangan tersendiri.
“Ketika ini kaedah tanpa ubat iaitu dengan amalan pemakanan secara sihat dan peningkatan aktiviti fizikal adalah selamat, kurang kesan sampingan, tidak melibatkan kos yang tinggi, dan kaedah yang paling kerap digunakan.
“Namun perkara ini perlu dijadikan sebahagian daripada gaya hidup dan diamalkan secara berterusan untuk mengekalkan berat badan yang telah turun,” ujarnya lanjut.
Menurut Aida Hanum lagi, kaedah menggunakan ubat antiobesiti boleh memberi kesan yang cepat tetapi ramai yang mengalami peningkatan semula berat badan selepas berhenti mengambil ubat.
“Justeru, ubat antiobesiti mungkin perlu diambil untuk jangka masa yang panjang bagi mengekalkan penurunan berat badan dan boleh memberi kesan sampingan kepada sebilangan pesakit.
“Ubat antiobesiti agak mahal dan boleh mencecah ratusan hingga ribuan ringgit sebulan,” katanya.
Tambah Aida Hanum, pembedahan bariatrik juga merupakan kaedah untuk menangani masalah obesiti kerana ia berupaya menurunkan berat badan yang banyak tetapi perlu dilakukan oleh pakar berkemahiran di samping mempunyai risiko tersendiri dan ianya belum dilaksanakan secara meluas di Malaysia.
“Oleh kerana rawatan obesiti adalah kompleks dan tidak mudah, pencegahan obesiti merupakan kaedah yang paling baik bagi mengurangkan penyakit berkaitan obesiti.
“Pencegahan sejak daripada awal usia kanak-kanak ialah cara yang terbaik dan mampan bagi melahirkan generasi sihat pada masa hadapan,” jelas beliau lagi.
Teks: Rosalwani Che Soh/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 121