USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

HIDUNG TERSUMBAT DAN BERHINGUS? KETAHUI PUNCA RINITIS DAN RESDUNG SERTA RAWATANNYA

WhatsApp Image 2024 12 01 at 4.25.27 PM 1

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 1 Disember 2024 – Rinitis dan resdung adalah dua (2) masalah kesihatan yang sering dianggap serupa tetapi mempunyai punca dan kesan yang berbeza.

Rinitis biasanya berpunca oleh sebab alahan manakala resdung melibatkan jangkitan atau keradangan yang lebih serius daripada sinus.

Kedua-dua keadaan ini bukan sahaja memberi kesan ketara terhadap kualiti hidup pesakit, tetapi juga memberi impak sosial dan ekonomi yang besar.

Menurut kajian, penyakit resdung kronik di Amerika Syarikat sahaja melibatkan kos langsung antara $10 hingga $13 bilion USD setiap tahun, dengan lebih $20 bilion USD lagi akibat kehilangan produktiviti kerja.

Di Malaysia, kesan ekonomi akibat masalah ini turut membimbangkan dengan peningkatan kos rawatan dan penurunan produktiviti dalam kalangan pekerja yang sering cuti sakit.

Oleh itu, rawatan yang berkesan untuk rinitis dan resdung amat penting untuk meningkatkan kualiti hidup pesakit dan mengurangkan beban kepada sistem kesihatan negara.

WhatsApp Image 2024 12 01 at 4.25.28 PM

Menurut Pakar Otorinolaringologi, Jabatan Otorinolaringologi - Surgeri Kepala dan Leher (ORL-HNS), Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Ramiza Ramza Ramli, rinitis merujuk kepada keradangan pada membran mukosa hidung, manakala resdung (rinosinusitis) merujuk kepada keradangan pada membran mukosa sinus dan kedua-dua masalah ini sering saling berkaitan dengan rinitis yang mana sekiranya tidak dirawat boleh menyebabkan sinusitis.

"Rinitis boleh dibahagikan kepada dua (2) jenis utama, iaitu alahan/alergi rinitis dan rinitis bukan alahan/alergi.

"Alahan rinitis berlaku akibat reaksi hipersensitiviti terhadap alergen seperti debu, debunga atau kelemumur haiwan, dan dapat mengakibatkan gejala seperti hidung berhingus, bersin berulang, mata gatal dan hidung tersumbat.

"Rinitis bukan alahan pula berlaku tanpa kaitan dengan alergen dan sering disebabkan oleh iritasi persekitaran seperti asap rokok, bau kuat atau perubahan cuaca.

Gejala-gejalanya adalah serupa dengan alahan rinitis tetapi tanpa punca alergen yang jelas," jelasnya semasa menyampaikan syarahan dalam Majlis Syarahan Umum Pelantikan Profesor yang berlangsung di Dewan Utama, hari ini.

Ramiza Ramza yang juga Pengerusi Persatuan Autisme USM berkata, resdung atau istilah Kelantan ‘sedue’ lebih dikenali oleh masyarakat jika dibandingkan dengan alahan rinitis.

“Pesakit akan menerangkan gejala-gejala yang mereka alami apabila menerima rawatan dan kebanyakannya lebih mirip kepada gejala yang dialami oleh pesakit alahan rinitis dan bukannya resdung.

"Penyakit resdung sering membawa stigma dan anggapan mitos atau salah faham dalam masyarakat antaranya penyakit resdung ada kaitan dengan ulat-ulat di dalam muka pesakit dan juga darah pesakit resdung yang dianggap kotor.

"Oleh itu, resdung ialah penyakit yang sering dikaitkan dengan perubatan tradisional di mana pesakit resdung akan mengunjungi pengamal perubatan tradisional untuk merawat penyakit mereka,” katanya lagi.

Tambah Ramiza Ramza, resdung juga boleh dibahagikan kepada dua (2) jenis,  iaitu resdung akut dan resdung kronik.

"Gejala dan tanda resdung akut biasanya dialami pesakit selama kurang daripada empat (4) minggu. Penyakit ini sering berlaku disebabkan oleh jangkitan virus, bakteria atau alahan.

"Gejala-gejala resdung akut termasuk sakit muka atau tekanan di sekitar hidung, mata, pipi atau dahi, hidung tersumbat atau berair, kehilangan deria bau, batuk terutama pada waktu malam, demam ringan serta sakit tekak dan suara serak,” ujarnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa gejala dan tanda penyakit resdung kronik dialami pesakit selama sekurang-kurangnya 12 minggu atau lebih.

"Penyakit ini berpunca dari jangkitan bakteria yang berulang, alahan atau masalah ketumbuhan dalam hidung seperti polip hidung. Gejala-gejala resdung kronik hampir sama seperti resdung akut tetapi lebih berpanjangan durasinya.

"Antara lain gejala penyakit resdung kronik ialah sakit muka atau tekanan yang berterusan, hidung tersumbat atau berair yang berterusan, kehilangan deria bau yang berpanjangan, kelesuan dan keletihan serta sakit kepala yang berterusan,” ulasnya lanjut.

Tambah bapa kepada empat (4) orang cahaya mata ini, pengesahan diagnosis rinitis dan resdung memerlukan gabungan sejarah klinikal, pemeriksaan fizikal dan ujian diagnostik tertentu.

"Bagi rinitis, ujian 'skin prick test' (SPT) digunakan untuk mengenal pasti alergen yang menyebabkan alahan. Ujian darah immunoglobulin E (IgE) juga boleh membantu mengukur tahap antibodi IgE spesifik terhadap alergen tertentu.

"Manakala ujian endoskopi hidung dan ‘computed tomography’ (CT) scan sinus digunakan untuk resdung bagi menilai tahap keradangan dan kewujudan polip atau jangkitan bakteria,” jelasnya lagi.

Beliau yang juga Ketua Jabatan, Jabatan ORL-HNS berkata, rawatan untuk rinitis boleh melibatkan ubat-ubatan, perubahan gaya hidup, dan dalam kes tertentu menggunakan rawatan imunoterapi.

“Ubat-ubatan seperti antihistamin, kortikosteroid intranasal dan dekongestan boleh membantu mengawal gejala.

"Selain itu, pesakit juga disarankan untuk mengelakkan pendedahan kepada alergen yang diketahui, seperti mengemas rumah secara berkala, memandikan haiwan peliharaan dan menggunakan penapis udara.

"Rawatan imunoterapi yang melibatkan suntikan atau titisan alergen untuk membina toleransi tubuh juga boleh menjadi pilihan bagi pesakit yang tidak memberikan tindak balas terhadap ubat biasa,” katanya beliau.

Menurut Ramiza Ramza lagi, walau bagaimanapun, rawatan untuk resdung bergantung kepada jenis dan keterukan penyakit itu.

"Bagi resdung akut, rawatan termasuk dekongestan, pencucian hidung dengan larutan garam dan dalam beberapa kes antibiotik digunakan.

"Bagi resdung kronik pula, ia memerlukan pendekatan lebih intensif dengan penggunaan kortikosteroid intranasal, antibiotik jangka panjang dan dalam kes tertentu pembedahan perlu dilakukan untuk membetulkan masalah struktur dalam hidung dan sinus seperti ‘Functional Endoscopic Sinus Surgery’ (FESS)," ujarnya lagi.

Ramiza Ramza turut menjelaskan bahawa rinitis dan resdung adalah masalah kesihatan yang sering diabaikan walaupun ia memberikan impak besar kepada kualiti hidup pesakit.

"Pemahaman yang lebih mendalam mengenai punca, gejala dan rawatan penyakit ini penting bagi membantu mereka yang terjejas.

“Dengan rawatan yang tepat, gejala penyakit ini dapat dikawal dan kualiti hidup pesakit dapat dipertingkatkan,” katanya.

Teks: Siti Sri Mas Ismail/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 158

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024