USM HULUR SUMBANGAN RM20,000 KEPADA TABUNG KEMANUSIAAN PALESTIN MEDIA PRIMA
KUALA LUMPUR, 14 Disember 2024 – Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini menyerahkan sumbangan RM20,000 kepada Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima sebagai tanda solidariti dan sokongan terhadap rakyat Palestin yang terkesan dengan konflik yang melanda negara mereka.
Sumbangan disampaikan Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed kepada Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr. Syed Hussian Aljunid pada Majlis Malam Gemilang Alumni dan Industri USM 2024, di sini, malam tadi.
Majlis dirasmikan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali Mohd Rustam, yang juga Penaung Persatuan Alumni USM.
Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin; Presiden Persatuan Alumni USM, Dr. Mohamed Maliki Mohamed Rapiee; Timbalan-timbalan Naib Canselor USM; pegawai-pegawai utama Universiti; para alumni; rakan-rakan strategik industri dan agensi kerajaan; dan ramai lagi.
Menurut Abdul Rahman, USM telah mewujudkan tabung sumbangan warga universiti sejak beberapa tahun lalu, dan melalui tabung berkenaan, sudah membantu ramai golongan kurang berkemampuan termasuk pelajar serta masyarakat setempat.
“Melalui tabung berkenaan, kita berjaya memperoleh RM10,000 untuk disumbangkan kepada Tabung Kemanusiaan Media Prima.
“Manakala RM10,000 lagi dikumpul melalui program ‘USM Fun Ride: Peace for Palestine’ yang berlangsung pada 26 Oktober 2024 di Kampus Kejuruteraan USM, dengan penyertaan lebih 400 peserta dari seluruh Malaysia,” katanya ketika ditemui pada Majlis berkenaan.
Sementara itu, Syed Hussian pula berkata, Media Prima menerusi Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima komited melaksanakan inisiatif membantu mereka terkesan akibat perang di Palestin, seperti penyediaan bekalan pek makanan, bahan perubatan dan penempatan sementara.
“Usaha itu dilaksanakan dengan kerjasama agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berpengalaman luas serta mempunyai kepakaran untuk menjalankan misi di wilayah terkesan itu,” katanya.
Beliau turut berkata sumbangan itu juga sejajar dengan semangat Malaysia MADANI yang menyokong keamanan sejagat, seraya merakamkan ucapan terima kasih kepada kesemua penyumbang termasuk USM dalam menjayakan inisiatif tersebut.
Majlis Malam Gemilang Alumni dan Industri USM 2024 yang julung kali diadakan itu telah menghimpunkan lebih 200,000 alumni USM dari seluruh pelusuk tanah air dan negara-negara jiran yang telah banyak menyumbang kembali kepada universiti, selain rakan strategik industri dan agensi kerajaan yang sentiasa memberi sokongan kepada pembangunan USM dalam pelbagai aspek.
Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 151