USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

RAWATAN SEGERA TERHADAP PENYAKIT STROK, SAWAN DAN SAKIT KEPALA ELAK BERLAKUNYA KECEMASAN OTAK

WhatsApp Image 2024 12 01 at 4.25.05 PM 2

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 1 Disember 2024 – Gangguan otak yang serius terbahagi kepada beberapa penyakit iaitu angin ahmar atau strok, sawan, sakit kepala, dan trauma kecederaan otak.

Penyakit-penyakit ini ialah satu kecemasan dan memerlukan diagnosis serta rawatan secepat mungkin. Terdapat beberapa cabaran, mitos dan fakta dalam merawat penyakit-penyakit ini.

Menurut Pakar Perubatan Kecemasan, Jabatan Perubatan Kecemasan, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Kamarul Aryffin Baharuddin, strok adalah satu keadaan perubatan serius yang berlaku apabila bekalan darah ke otak terganggu atau terhenti.

“Tanpa bekalan darah yang mencukupi, sel-sel otak mula mati kerana kekurangan oksigen dan nutrien penting. Keadaan ini boleh menyebabkan kerosakan otak yang kekal, kecacatan fizikal atau kematian jika tidak dirawat dengan segera.

“Strok merupakan salah satu penyebab utama kematian di Malaysia dan lebih daripada 50 peratus (%) pesakit strok yang hidup memerlukan kebergantungan fungsi anggota terhadap bantuan sepanjang hayat,” katanya ketika berkongsi ilmu dalam Majlis Syarahan Umum Pelantikan Profesor di Dewan Utama, Kampus Kesihatan USM, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa, PPSP USM berkata, sekiranya seseorang menunjukkan tanda-tanda strok, adalah penting untuk mereka mendapatkan rawatan perubatan dengan segera.

“Setiap minit adalah penting dalam merawat strok kerana lebih cepat rawatan diberikan, lebih tinggi peluang untuk mengurangkan kerosakan sel-sel otak dan meningkatkan hasil pemulihan.

WhatsApp Image 2024 12 01 at 4.25.04 PM

“Secara purata, terdapat kira-kira 1.9 juta neuron yang hilang secara progresif setiap minit bagi pesakit strok. Semakin cepat pesakit tersebut datang ke hospital untuk rawatan ubat pencair darah, semakin banyak tisu dapat diselamatkan.

“Bagaimanapun, kajian menunjukkan lebih daripada 60% pesakit datang lewat ke hospital iaitu selepas enam (6) jam serangan strok,” ujarnya lagi.

Tambah Kamarul Aryffin, strok adalah satu kecemasan, jadi segeralah ke hospital yang mempunyai kemudahan imbasan CT dan rawatan ubat pencair darah tPA dapat meningkatkan kerosakan otak secara minimum dan meningkatkan pemulihan.

“Ubat pencair darah tPA hanya berkesan jika diberikan dalam beberapa jam pertama selepas gejala strok muncul,” jelasnya.

Menurut Kamarul Aryffin, penyakit sawan pula ialah gangguan dalam aktiviti elektrik otak yang menyebabkan kekejangan atau perubahan pada tingkah laku, kesedaran atau deria rasa, dan ia berlaku dalam kalangan 10% populasi global.

“Apabila penyakit sawan ini menjadi kronik, berulang dan mempunyai gejala yang hampir sama, maka ia dinamakan sebagai epilepsi atau sawan babi.

“Sawan adalah satu kecemasan kerana penyakit ini menyebabkan gangguan aktiviti elektrik otak berlaku dengan kadar yang tinggi dan boleh menyebabkan kematian sel-sel otak.

“Sawan yang berlaku secara berlanjutan, melebihi lima (5) minit dikenali sebagai status ‘epilepticus’ dan memerlukan tindakan segera daripada pengamal perubatan untuk menghentikan serangan sawan tersebut melalui ubat-ubatan,” ulasnya lanjut.

Jelas Kamarul Aryffin lagi, sakit kepala juga tergolong dalam kategori gangguan otak dan merupakan satu simpom umum yang biasa dialami oleh ramai orang.

“Secara amnya, sakit kepala tidak termasuk dalam gangguan otak yang serius dan boleh disebabkan oleh pelbagai faktor.

“Kadangkala istilah pening digunakan oleh pesakit bagi menerangkan sakit kepala. Justeru, pengamal perubatan hendaklah memastikan dengan tepat maksud sakit kepala dan pening pesakit kerana ia mempunyai faktor penyebab yang berbeza serta rawatan yang berbeza,” katanya.

Menurut Kamarul Aryffin yang juga Pemerintah St. John Ambulan Malaysia (SJAM) Negeri Kelantan, sakit kepala terbahagi kepada sakit kepala primer dan sakit kepala sekunder.

“Sakit kepala primer yang berlarutan dan sakit kepala sekunder yang serius merupakan satu kecemasan.

“Kajian menunjukkan kadang kala pengamal perubatan tidak memandang serius tahap kesakitan pesakit sakit kepala primer dan mungkin lambat untuk memberikan ubat tahan sakit yang sesuai.

“Tanda-tanda bendera merah untuk sakit kepala sekunder yang serius biasanya dikenali dengan akronim SSNOOP (systemic symptoms/signs and disease, neurologic symptoms or signs, onset sudden or onset after the age of 40 years, and change of headache pattern),” ujarnya lagi.

Beliau turut menjelaskan bahawa pesakit sakit kepala yang mengadu gejala ini mesti menjalani imbasan otak kerana kajian menunjukkan pesakit yang berusia lebih daripada 50 tahun dan baharu pertama kali menghidap sakit kepala yang kuat mempunyai risiko yang tinggi untuk menghidap penyakit yang serius.

“Kecemasan otak boleh dirawat dengan baik jika mendapatkan pemeriksaan dan diagnosis yang betul selain menerima rawatan dengan kadar segera.

“Rawatan adalah sangat penting untuk menyelamatkan nyawa dan mengurangkan kerosakan pada otak.

“Penjagaan secara holistik sangat penting untuk mendapatkan kesembuhan yang maksimum, dan jauhilah mitos yang sering tersebar dengan mendapatkan pandangan daripada pengamal perubatan bertauliah,” katanya.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 130

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024