USM RAI ALUMNI, PEMAIN INDUSTRI DAN RAKAN STRATEGIK DALAM MAJLIS KHAS, IKTIRAF SUMBANGAN BERTERUSAN MEREKA KEPADA PEMBANGUNAN PESAT USM
KUALA LUMPUR, 14 Disember 2024 – Universiti Sains Malaysia (USM) buat julung kalinya menghimpunkan alumninya dengan para pemain industri dalam majlis khas, Malam Gemilang Alumni dan Industri USM Tahun 2024, bertujuan untuk mengiktiraf sumbangan besar mereka kepada pembangunan USM yang kini telah menginjak ke usia 55 tahun.
Majlis yang turut menjadi platform dalam merapatkan hubungan Alumni USM bersama alma mater itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali Mohd Rustam dan Toh Puan Datuk Wira (Dr.) Hajah Asmah Ab Rahman.
Bertempat di World Trade Centre (WTC), Kuala Lumpur, majlis berkenaan dihadiri seramai 400 jemputan dalam kalangan alumni USM dan rakan-rakan strategik industri, yang memainkan peranan cukup besar dan memberi impak kepada pembangunan Universiti.
Sumbangan alumni dan pihak industri kepada USM tidak terhad hanya kepada dana. Namun kedua-dua rakan strategik Universiti ini sentiasa memainkan peranan penting dalam membantu USM menyediakan graduan-graduan yang berkualiti, sekaligus meningkatkan kebolehpasaran graduan.
Hal ini juga turut dizahirkan dengan kejayaan USM dalam mendapat pengiktirafan industri sebagai Universiti Pilihan Graduan dalam majlis Anugerah Graduates’ Choice Award yang dikendalikan oleh Talentbank, baru-baru ini.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, sejak ditubuhkan, USM sehingga kini telah melahirkan kira-kira 200,000 alumni.
“Ramai yang telah berjaya dan mengangkat moto Universiti, 'Kami Memimpin'. Alumni USM kembali menyumbang kepada komuniti, baik berkhidmat untuk alma mater atau mencurah keringat di pelbagai sektor dan lapangan.
“USM tidak ketinggalan dalam melahirkan alumni HEBAT dan menyahut cabaran menjadi job creators. Mereka ini telah membuka banyak peluang kerjaya kepada masyarakat khasnya dalam bidang industri,” ujar beliau.
Abdul Rahman turut menzahirkan rasa bangga kerana TYT Tun juga adalah salah seorang alumni yang menzahirkan moto ‘Kami Memimpin’ kepada pencapaian yang luar biasa.
Katanya, TYT Tun juga telah dianugerahkan dengan Ijazah Kehormat Doktor Ekonomi Pembangunan USM. Anugerah ini sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan Universiti terhadap sumbangan besar beliau dalam bidang ekonomi, dan mendapat pelbagai pengiktirafan di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
Hadir sama di majlis berkenaan ialah Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti, Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin; Presiden Persatuan Alumni USM, Dr. Mohamed Maliki Mohamed Rapiee; Timbalan-timbalan Naib Canselor; pegawai-pegawai utama universiti; para pemain industri; ketua-ketua agensi kerajaan; dan sebagainya.
Dalam pada itu, majlis berkenaan adalah anjuran bersama Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) USM, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM, dan Persatuan Alumni USM.
Dalam majlis berkenaan juga, USM turut menyampaikan Anugerah Ikon Alumni kepada alumninya yang telah memberikan impak yang signifikan kepada profesionalisme, komuniti, dan USM.
Dua kategori anugerah telah disampaikan termasuk Kategori Anugerah Alumni Perdana yang dinobatkan kepada Toh Indera Jaya Dato’ Ishak Haji Mohamed, Alumni dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan tahun 1985 dari Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, yang sekarang memegang jawatan sebagai Naib Presiden, Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB).
Satu lagi anugerah, Kategori Anugerah Alumni Muda Harapan pula diberikan kepada Khairul Hafez Yunus @ Hamid, pengacara TV Radio Televisyen Malaysia (RTM), yang bergraduat dari USM dalam bidang Sains Politik pada tahun 2018.
USM turut menzahirkan penghargaan kepada Mantan-mantan Presiden Persatuan Alumni USM serta rakan-rakan strategik USM dalam kalangan industri dan komuniti.
Antara impak majlis ini termasuk:
- Untuk memastikan alumni-alumni USM dapat menyumbang semula kepada alma mater;
- Meningkatkan jaringan USM bersama alumni USM dan industri;
- Memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada alumni USM dan rakan strategik, khususnya yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan USM.
Penganjuran majlis ini turut diharapkan dapat memastikan Alumni USM dapat kembali ke kampus (Giving Back) melalui Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) bagi membantu USM.
Sumbangan alumni boleh dibuat sama ada dalam bentuk kewangan mahupun perkongsian pengalaman atau perkhidmatan, dalam mempersiapkan pelajar USM ke dunia sebenar, sekaligus membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan atau graduate employability.
Sumber: Siaran Media USM
- Created on .
- Hits: 149