USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

'PUNCTURE PROOF SELF-HEALING TYRE' DINOBATKAN JUARA MINGGU KEEMPAT INNOVATHON MUSIM KE-2

IMG 3851

USM PULAU PINANG, 25 Disember 2024 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus mengukuhkan reputasi dalam penyelidikan dan inovasi apabila pasukan yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Raa Khimi Shuib, pensyarah di Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, berjaya dinobatkan sebagai juara minggu keempat dalam program Innovathon musim kedua.          

Raa Khimi dan pasukannya berjaya mencipta tayar motosikal kalis pancit yang mampu kekal utuh walaupun tertusuk objek tajam seperti paku atau jalan berlubang.

Inovasi ini menggunakan teknologi ‘self-healing rubber’, diinspirasikan daripada mekanisme semula jadi pokok getah Malaysia dan dilengkapi dengan adaptasi teknologi moden.

"Kami menggunakan 'self-healing rubber' yang dimasukkan ke dalam lapisan tayar. Apabila berlaku tusukan seperti paku atau objek tajam, lapisan ini akan segera menyembuhkan kebocoran tersebut secara serta-merta," jelas Raa Khimi.

Kejayaan pasukan ini melengkapkan pencapaian mereka apabila inovasi ini turut menerima anugerah utama dalam Pertandingan Tech Planter 2024 di Cyberjaya.

Program Innovathon musim kedua menyaksikan 56 peserta terpilih melalui sesi uji bakat untuk bersaing mempersembahkan idea-idea berteraskan sains dan inovasi.

Idea terbaik dari setiap episod mara ke peringkat akhir untuk memenangi dana pembangunan perniagaan bernilai sehingga RM1 juta. Program ini bersiaran setiap Sabtu, jam 9.00 malam di Astro Ria (saluran 104) sejak 30 November 2024.

Kejayaan ini bukan sahaja mencerminkan keunggulan USM dalam bidang inovasi, tetapi juga komitmen universiti dalam memperkasakan teknologi lestari yang memberi impak positif kepada masyarakat.

Teks: Shafinaz Md. Ismail/Foto: ASTRO Awani

  • Created on .
  • Hits: 981

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024