USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PESTA HOKI USM: TRADISI 47 TAHUN, MAHASISWA TERAJUI SUKAN BERTARAF ANTARABANGSA

USM PULAU PINANG, 23 Disember 2024 – Pesta Hoki USM–Penang International ke-47 melabuhkan tirainya petang kelmarin dengan perlawanan akhir yang menyaksikan pasukan TNB-Kilat B (Kuala Lumpur) dinobatkan sebagai johan selepas menewaskan Buddy Hockey Club (Perak) dengan keputusan 2-0 dalam kategori Terbuka Lelaki Premier.

Perlawanan sengit itu menarik perhatian ramai dan menjadi penutup sempurna kepada Pesta Hoki USM yang berlangsung selama tiga hari, dari 20 hingga 22 Disember 2024.

WhatsApp Image 2024 12 22 at 21.13.00

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, hadir dalam majlis penyampaian hadiah sambil menyatakan rasa bangganya terhadap kejayaan penganjuran acara tersebut.

“Kejohanan ini yang telah tertangguh sejak 2019 apabila negara dilanda wabak COVID-19 kini kembali dianjurkan dengan penuh semangat.

WhatsApp Image 2024 12 22 at 21.07.29

Beliau berkata, “Kejohanan ini berjaya menarik sebanyak 200 pasukan dengan penglibatan lebih 2,000 pemain, termasuk 16 pasukan antarabangsa. Ini membuktikan keupayaan USM sebagai tuan rumah kepada acara bertaraf antarabangsa yang dianjurkan sepenuhnya oleh mahasiswa.”

Tambah beliau, kejayaan Pesta Hoki ini juga adalah hasil usaha gigih barisan jawatankuasa pengelola yang terdiri daripada 230 sukarelawan mahasiswa di bawah bimbingan Pusat Sukan dan Rekreasi USM.

“Penglibatan ini bukan sahaja mencerminkan semangat kerja berpasukan, tetapi juga melatih mereka menjadi pemimpin yang cemerlang tanpa mengabaikan akademik,” katanya lagi.

WhatsApp Image 2024 12 22 at 21.07.37

Menurut Pengerusi Pesta Hoki USM, Kabilan Kesavan, “Kejayaan penganjuran ini membuktikan semangat kerjasama yang utuh dalam kalangan ahli jawatankuasa pengelola serta sokongan berterusan dan sumbangan penaja berperanan penting bagi menjayakan kejohanan tahun ini.”

Kabilan turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam merealisasikan kejohanan ini, termasuk para pemain yang telah memberi komitmen tinggi sepanjang temasya ini.

Pesta Hoki USM–Penang International, yang pertama kali dianjurkan pada tahun 1973, kini menjadi acara sukan tahunan “flagship” universiti.

Naib Canselor turut berkata, “USM berharap dapat menarik lebih banyak penyertaan dari negara luar pada edisi akan datang sambil meneruskan tradisi kecemerlangan dalam membangunkan graduan holistik yang HEBAT melalui platform seperti ini.”

WhatsApp Image 2024 12 22 at 21.07.30

Dengan tamatnya Pesta Hoki kali ini, ia sekali lagi membuktikan dedikasi USM terhadap pembangunan mahasiswa serta sumbangannya kepada pembangunan sukan khususnya sukan hoki di peringkat antarabangsa.

Turut hadir di majlis penyampaian hadiah ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin; Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi USM; Profesor Dr. Hairul Anuar Hashim; Penasihat Pesta Hoki USM-Penang International Kali Ke-47, Nasrullah Mohamed Farouk; barisan Sekretariat Pesta Hoki, para pengadil, serta pegawai-pegawai utama universiti.

Teks: Shafinaz Md Ismail/Foto: Shahnizam Ab Rahim

  • Created on .
  • Hits: 263

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024