USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENERBIT USM CEMERLANG DI MAPIM-KPT 2024: LIMA ANUGERAH PENERBITAN DIRANGKUL

PULAU PINANG, 22 Disember 2024 – Universiti Sains Malaysia (USM), melalui Penerbit USM, baru-baru ini berjaya merangkul lima anugerah pada Majlis Anugerah Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM-KPT) kali ke-15, yang mengiktiraf individu dan institusi yang terlibat dalam mengangkat industri penerbitan ilmiah tempatan.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud pada 18 Disember yang lalu di Putrajaya.

01

Dalam ucapannya kepada penerima anugerah, Mustapha menekankan kepentingan penerbitan ilmiah sebagai pemangkin kepada perkembangan ilmu pengetahuan dan inovasi di negara ini.

“Penerbitan ilmiah memainkan peranan penting dalam menghubungkan ilmu pengetahuan dengan masyarakat, membina jaringan ilmiah yang kukuh serta menyebarluaskan penemuan dan idea baharu,” katanya.

Beliau juga menyarankan penggunaan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) secara beretika dalam penerbitan ilmiah, demi memastikan ia kekal relevan di peringkat global.

Sebanyak 20 kategori anugerah disampaikan, dan lima anugerah yang dimenangi oleh Penerbit USM adalah seperti berikut:

* Penulis Prolifik Terbaik – Prof. Madya Dr. Wan Muhamad Amir W. Ahmad

* Editor Naskhah Terbaik, Tempat Kedua: Nur Naimah Jaafar – Judul: Kawalan Mutu Berstatistik untuk Kejuruteraan dan Teknologi

* Makalah Jurnal Terbaik, Kemanusiaan dan Sains Sosial – Judul: Financial Reporting Quality During Covid-19 Pandemic: International Evidence

* Makalah Jurnal Terbaik, Sains, Teknologi, dan Perubatan (dua penerima)

    1. Judul Makalah: The Antioxidant Activity and Induction of Apoptotic Cell Death by Musa Paradisiaca and Trigona sp. Honey Jelly in ORL115 and ORL188 Cells

    2. Judul Makalah: Impact of Antimicrobial Stewardship Programme on Antimicrobial Utilisation, Cost, and Bacterial Resistance in a Malaysian Public Tertiary Hospital

Majlis Anugerah MAPIM-KPT ke-15 bukan sahaja mengiktiraf pencapaian dalam penerbitan ilmiah, tetapi turut menyuntik semangat kepada komuniti akademik untuk terus melahirkan karya berkualiti, sekaligus meletakkan Malaysia di peta penerbitan peringkat global.

m01 m02

m03 m04 m05

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman, dan Pengerusi MAPIM, Azman Hashim.

02

Sebagai rekod, Anugerah MAPIM telah diwujudkan sejak 2007 dan terbuka kepada semua penerbitan yang diterbitkan oleh ahli-ahli MAPIM yang kini mempunyai keanggotaan sebanyak 29 penerbit.

Pada tahun ini, sebanyak 20 kategori anugerah dipertandingkan melibatkan kategori buku ilmiah terbaik, makalah jurnal terbaik, editor naskhah terbaik, ilmiah popular, karya suntingan terbaik dan reka bentuk buku terbaik bagi bidang sains sosial dan kemanusiaan serta sains, teknologi dan perubatan.

Teks: Shafinaz Md Ismail/Foto: FB KPT & FB Penerbit USM

  • Created on .
  • Hits: 270

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024