USM PEROLEH STATUS PENGIKTIRAFAN PENUH UNTUK PROGRAM SARJANA MUDA TEKNOLOGI KEJURUTERAAN BANGUNAN DENGAN KEPUJIAN
PULAU PINANG, 19 Disember 2024 - Program Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Bangunan dengan Kepujian yang ditawarkan oleh Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan, dan Perancangan (HBP), Universiti Sains Malaysia (USM), kini secara rasminya telah mendapat Status Akreditasi Penuh untuk tempoh tiga tahun daripada Majlis Akreditasi Teknologi Kejuruteraan (ETAC) di bawah Lembaga Jurutera Malaysia (BEM).
Pencapaian bersejarah ini menjadikan program tersebut sebagai program teknologi kejuruteraan pertama di USM yang diiktiraf oleh ETAC BEM.
Keputusan ini dibuat selepas lawatan akreditasi menyeluruh oleh panel penilai ETAC yang berlangsung pada 8 hingga 9 Mei 2024 lalu.
Lawatan ini bertujuan utama untuk menilai sama ada program tersebut mematuhi piawaian ketat ETAC, memastikan graduan program ini bersedia sepenuhnya untuk menceburi kerjaya sebagai teknologis kejuruteraan.
Pada lawatan tersebut, panel ETAC berkesempatan mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan universiti, staf-staf akademik dan teknikal, pelajar, serta pihak berkepentingan luar seperti alumni dan ahli Panel Penasihat Komuniti Industri (ICAP).
Penilaian tersebut juga melibatkan semakan menyeluruh terhadap dokumen program, kemudahan, dan sumber bagi memastikan ia mencukupi untuk pembangunan profesional dan pelajar.
Panel penilai diketuai oleh Ts. Dr. Sabrina Karim, bersama ahli panel Ir. Ts. Dr. Nurhidayah Azmy dan Ir. Mohd Mawardi Hassim.
Kehadiran barisan panel ini telah disambut oleh pihak pengurusan tertinggi USM, termasuk Naib Canselor USM, Prof. Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Dekan Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan, dan Perancangan USM, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Rodzi Ismail; Pengerusi Program, Dr. Ariza Sharikin Abu Bakar, serta ahli-ahli program yang lain.
Manakala sesi penutup turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, USM, Profesor Dr. Habibah A Wahab yang menyampaikan ucapan dan rumusan bagi sesi lawatan tersebut.
Selepas proses penilaian yang teliti, ETAC BEM mengesahkan bahawa program ini memenuhi keperluan akreditasi mereka dan menganugerahkan Status Akreditasi Penuh untuk tempoh tiga tahun.
Pengiktirafan ini bukan sahaja mencerminkan kepatuhan program terhadap piawaian akademik dan profesional yang tinggi tetapi juga merupakan pencapaian penting bagi USM dalam memperkasa pendidikan teknologi kejuruteraan.
Terjemahan: Mohd Azrul Mohd Azhar
Foto: Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan, USM
- Created on .
- Hits: 67