USM-ITB INTAI KOLABORASI BIDANG MIKROELEKTRONIK
PULAU PINANG, 10 Jun 2015 - Universiti Sains Malaysia (USM) memperluas kerjasama strategik dengan Institut Teknologi Bandung (ITB), antara institusi terkemuka di Indonesia bagi membangunkan kapasiti kedua-dua pihak khususnya dalam bidang Kejuruteraan Mikroelektronik.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, USM sentiasa mencari peluang untuk memperkasa bidang nic dan mikroelektronik adalah antara bidang yang dikenalpasti boleh diperkasakan melalui hubungan kolaborasi berimpak tinggi.
Katanya, USM sentiasa melihat potensi kolaborasi berimpak tinggi dengan institusi dalam dan luar negara dan ITB boleh menjadi antara institusi yang dapat menjayakan kecemerlangan penyelidikan dan penerbitan bersama USM.
“USM mempunyai pelbagai model kolaborasi dan salah satunya mungkin dapat disesuaikan bersama ITB yang mana ia boleh direalisasikan melalui perbincangan lebih terperinci antara kedua-dua pihak.
“Kita berbesar hati menerima cadangan pengukuhan rangkaian kerjasama bersama rakan institusi luar negara dan berharap ia akan dapat menyumbang kepada pembangunan bidang ilmu secara lebih menyeluruh,’’ ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat delegasi dari ITB yang diketuai wakil dari Kementerian Koordinasi Hal Ehwal Ekonomi Republik Indonesia, Eddy Satria, akademia dan pegawai-pegawai ITB.
Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (TNC) Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, TNC Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Dato’ Dr. See Ching Mey dan Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik USM, Profesor Dr. Mohd. Zaid Abdullah.
Eddy pula berkata, pihaknya teruja untuk bekerjasama dengan USM, yang juga diiktiraf antara universiti terbaik di Malaysia dan mengenalpasti fokus kolaborasi dengan Pusat Rekabentuk Mikroelektronik Negara (CEDEC).
“Kerjasama erat antara kedua-dua pihak dapat menambah baik dan meningkatkan kapasiti USM dan ITB. Kerjasama ini juga akan membawa manfaat kepada pembangunan modal insan berkepakaran tinggi.
“Kita melihat peluang kerjasama dengan USM membuka ruang lebih luas untuk memperkasa pencapaian institusi keilmuan termasuk dalam hal-hal berkaitan dengan pertukaran staf dan pelajar, penyelidikan berimpak tinggi, penerbitan dan sebagainya,’’ katanya. - Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohamad Danial Shahri
- Created on .
- Hits: 1159