KOLABORASI USM-AMS OSRAM-SILTERRA MEMBAWA INDUSTRI KE DALAM BILIK DARJAH 4.0
USM PULAU PINANG, 30 November 2024 – Pusat Pengajian Sains Fizik, Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama ams OSRAM dan Silterra telah melancarkan Program ‘Industry in Classroom’ (Industri Dalam Bilik Darjah) yang ke-4 pada 27 November 2024.
Program tersebut bertujuan untuk memperkasakan pelajar pascasiswazah dalam bidang Fizik Gunaan dan Fizik Kejuruteraan melalui siri kuliah berstruktur yang dikendalikan oleh rakan industri.
Melalui program tersebut, sebanyak lapan (8) ceramah teknikal yang disampaikan oleh pakar jurutera daripada ams OSRAM dan Silterra telah diselaraskan dengan silibus Sarjana Fizik Keadaan Pepejal.
Kandungan kuliah meliputi topik seperti Fizik Keadaan Pepejal, Fizik Semikonduktor, Fizik Bahan Pelengkap, Analisis Struktur X-ray, dan Pengurusan Haba Dalam Elektronik.
Selain itu, program itu turut diperluas untuk merangkumi topik seperti Fotonik Silikon dan Proses Peranti "back-end", serta membuka penyertaan kepada Pusat Pengajian lain dalam USM.
Inisiatif ‘Industry in Classroom’ itu menonjolkan usaha kerjasama antara Pusat Pengajian Sains Fizik dan rakan industri semikonduktor dalam memperkukuhkan ekosistem bakat masa depan serta mempromosikan kecemerlangan akademik dalam program pascasiswazah semasa.
Daripada pihak industri, program ini dipimpin oleh Dr. David Lacey, Presiden Persatuan Fabrikasi Semikonduktor Malaysia (Semiconductor Fabrication Association of Malaysia) dan juga Pengarah R&D di ams OSRAM. Beliau juga merupakan Ahli Panel Penasihat Industri/Komuniti (ICAP) USM dan penerima Ijazah Kehormat Doktor Sains daripada USM.
Dalam ucapannya, David menekankan pentingnya kolaborasi yang mampan dengan USM melalui inisiatif ini.
"Program ini adalah sebahagian daripada usaha jangka panjang kami di USM untuk menggalakkan lebih ramai pelajar menceburi kerjaya dalam teknologi semikonduktor,” katanya.
“Fokus kami adalah memperkukuh ekosistem saintis dan jurutera di Universiti, Institut Penyelidikan, dan syarikat-syarikat bagi menyokong keperluan R&D dalam industri semikonduktor.
“Melalui program ini, kami memperkenalkan aplikasi Fizik, Sains Bahan dan Kejuruteraan kepada produk semikonduktor dunia sebenar," tambahnya.
Dalam pada itu, ketua program ‘Industry in the Classroom,’ Ts. Dr. Wan Maryam Wan Ahmad Kamil berkata, selain meningkatkan kemahiran bakat pelajar pascasiswazah dalam bidang semikonduktor, program ini juga menyokong Strategi Semikonduktor Kebangsaan Malaysia melalui kerjasama strategik dengan pemain utama industri semikonduktor.
Jumlah peserta sejak program pertama dilancarkan pada tahun 2023 adalah seramai 106 pascasiswazah.
Sumber: Ts. Dr. Wan Maryam Wan Ahmad Kamil, ketua program ‘Industry in the Classroom’/Suntingan: Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 125