USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KOLABORASI USM DAN UMN AL WASHLIYAH, INDONESIA PERKUKUH KERJASAMA MELALUI PROGRAM LIBATSAMA KOMUNITI ANTARABANGSA DI NEGERI SEMBILAN

Bersama guru dan murid SMK Seri Perpatih1

NEGERI SEMBILAN, 12 Disember 2024 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (PPSK) telah menjalin kerjasama strategik dengan Universitas Muslim Nusantara (UMN) Al Washliyah, Medan, Indonesia, menerusi penganjuran program International Community Engagement and Knowledge Transfer Programme di Negeri Sembilan, dari 2 hingga 5 Disember 2024.

Program melibatkan lawatan enam pensyarah delegasi UMN Al Washliyah ke PPSK USM, Pulau Pinang pada 2 Disember lalu bertujuan memperkenalkan institusi masing-masing serta mengadakan perbincangan peluang kolaborasi di masa depan, yang seterusnya mencapai kesepakatan untuk memeterai memorandum persefahaman (MoU).

Lawatan ke PPDK USM

Pada sesi lawatan tersebut, delegasi UMN berkesempatan melawat Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Kampus Induk USM, yang berfungsi sebagai sokongan kepada staf universiti yang mempunyai anak kurang upaya (OKU).

Penyelia PPDK, Puan Wan Zahira Yusof, bersama petugas lain turut berkongsi pengalaman mereka dalam menguruskan pertubuhan ini yang kini menjadi model contoh kepada pertubuhan lain di Malaysia.

Kolaborasi Pendidikan dan Ekonomi Komuniti

Pada 3 Disember 2024, delegasi UMN bersama Pensyarah-pensyarah PPSK bertolak ke Negeri Sembilan untuk aktiviti libatsama bersama komuniti setempat.

Antara aktiviti utama ialah lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perpatih, Gemas, yang menjadi platform untuk pertukaran maklumat mengenai sistem pendidikan Malaysia dan Indonesia.

LAwatan dan perbincangan mengenai kolaborasi di PPSK USM2

Delegasi UMN turut berkongsi ceramah mengenai sistem pendidikan Indonesia kepada guru dan pelajar sekolah tersebut.

Selain itu, pihak sekolah mempamerkan projek keusahawanan pelajar, termasuk pusat pembenihan ikan air tawar.

Lawatan ini disusuli dengan kunjungan ke Jemapoh Pizza Kayu Api, sebuah Industri Kecil dan Sederhana (IKS) terkenal, yang pernah memenangi anugerah makanan paling viral di MAHA 2024.

Lawatan dan sesi perkongsian bersama IKS Lomang Apak Jemapoh

Lawatan ke IKS menjadi fokus penting dalam program ini. Pensyarah dari USM dan UMN memanfaatkan peluang untuk mempelajari proses penghasilan produk serta strategi pemasaran, sambil menyumbangkan input dalam meningkatkan mutu produk.

Aktiviti serupa turut dilaksanakan di Lomang Apak dan perusahaan komuniti D’Kok Food, Kuala Pilah.

Lawatan dan Sesi PErkongsian Bersama Jemapoh Pizza Kayu Api

Komitmen Berterusan untuk Kolaborasi Antarabangsa

Program ini diakhiri dengan komitmen daripada kedua-dua institusi untuk memperkukuhkan hubungan dalam bidang libatsama komuniti dan penyelidikan antarabangsa. Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM, Prof. Madya Dr. Mohamad Shaharudin Samsurijan, dan perwakilan UMN Al Washliyah, Asnarni Nazaruddin Lubis, menyatakan keyakinan bahawa usaha ini mampu membuka lebih banyak peluang kerjasama strategik di masa hadapan.

Teks: Dr. Muhammad Febriansyah, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, USM
Suntingan: Mohd Azrul Mohd Azhar
Foto: Asnarni Lubis, Shaharom Mokhtar, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, USM
  • Created on .
  • Hits: 271

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024