USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM ANJUR MALAM GEMILANG ALUMNI-INDUSTRI: IKTIRAF SUMBANGAN BERTERUSAN DALAM MEMPERKASA UNIVERSITI

WhatsApp Image 2024 12 17 at 9.54.11 AM

PULAU PINANG, 11 Disember 2024Universiti Sains Malaysia (USM) buat julung kalinya bakal menghimpunkan alumninya dengan para pemain industri dalam majlis khas, Malam Gemilang Alumni dan Industri USM Tahun 2024, bertujuan untuk mengiktiraf sumbangan besar mereka kepada pembangunan USM yang kini telah menginjak ke usia 55 tahun.

Majlis yang turut menjadi platform dalam merapatkan hubungan Alumni USM bersama alma mater itu turut akan diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali Bin Mohd Rustam.

Bertempat di World Trade Centre (WTC), Kuala Lumpur, majlis berkenaan bakal dihadiri seramai 400 jemputan dalam kalangan alumni USM dan rakan-rakan industri, yang memainkan peranan cukup besar dan memberi impak kepada pembangunan Universiti.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr Abdul Rahman Mohamed berkata, sejak ditubuhkan, USM sehingga kini telah melahirkan kira-kira 200,000 alumni.

“Ramai yang telah berjaya dan mengangkat moto Universiti, 'Kami Memimpin'. Alumni USM kembali menyumbang kepada komuniti, baik berkhidmat untuk alma mater atau mencurah keringat di pelbagai sektor dan lapangan.

“USM tidak ketinggalan dalam melahirkan alumni HEBAT dan menyahut cabaran menjadi job creators. Mereka ini telah membuka banyak peluang kerjaya kepada masyarakat khasnya dalam bidang industri,” ujar beliau.

Abdul Rahman turut menzahirkan rasa bangga kerana Yang Terutama Tun juga adalah salah seorang alumni yang menzahirkan moto ‘Kami Memimpin’ kepada pencapaian yang luar biasa.

Katanya, Tuan Yang Terutama Tun juga telah dianugerahkan dengan Ijazah Kehormat Doktor Ekonomi Pembangunan USM. Anugerah ini sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan Universiti terhadap sumbangan besar Tuan Yang Terutama Tun dalam bidang ekonomi, dan mendapat pelbagai pengiktirafan di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Hadir sama di majlis berkenaan ialah Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti, Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin; Presiden Persatuan Alumni, Dr. Mohamed Maliki Mohamed Rapee; pegawai-pegawai utama universiti, para pemain industri dan sebagainya.

Dalam pada itu, majlis berkenaan adalah anjuran bersama Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA), Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM dan Persatuan Alumni USM.

Dalam majlis berkenaan juga, USM turut menyampaikan Anugerah Ikon Alumni kepada alumninya yang telah memberikan impak yang signifikan kepada profesionalisme, komuniti dan USM.

Dua kategori anugerah akan disampaikan termasuk Kategori Anugerah Alumni Perdana dan Kategori Anugerah Alumni Muda Harapan.

USM akan turut menzahirkan penghargaan kepada Mantan-mantan Presiden Persatuan Alumni USM serta rakan-rakan strategik USM dalam kalangan industri dan komuniti.

Antara impak majlis ini termasuk:

  • Untuk memastikan alumni-alumni USM dapat menyumbang semula kepada alma mater;
  • Meningkatkan jaringan USM bersama alumni USM dan industri;
  • Memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada alumni USM dan rakan strategik, khususnya yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan USM.

Penganjuran majlis ini turut diharapkan dapat memastikan Alumni USM dapat kembali ke kampus (Giving Back) melalui Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) bagi membantu USM.

Sumbangan alumni boleh dibuat sama ada dalam bentuk kewangan mahupun perkongsian pengalaman atau perkhidmatan, dalam mempersiapkan pelajar USM ke dunia sebenar, sekaligus membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan atau graduate employability.

Teks: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 140

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024