USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

WATIKAH PELANTIKAN MPP 2024/2025: PENGGERAK AGENDA MAHASISWA USM

ikrar1

USM PULAU PINANG, 9 Disember 2024 – Seramai 46 ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Malaysia (USM) bagi Sidang Akademik 2024/2025 secara rasmi menerima watikah pelantikan dalam satu majlis penuh simbolik di Dewan Persidangan Universiti (DPU), yang turut menyaksikan lafaz ikrar sebagai komitmen melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin pelajar.

Dalam ucapannya, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, menegaskan bahawa MPP perlu menjadi penghubung yang efektif antara pelajar, universiti, dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

ikrar2

Beliau juga menekankan pentingnya MPP menyokong pelaksanaan Pelan Strategik USM APEX dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), di samping memperkukuhkan kebolehpasaran graduan melalui pembangunan bakat dan inovasi.

“Bertepatan dengan agenda pemerkasaan mahasiswa ini, ahli-ahli MPP yang dipilih perlu menunjukkan kredibiliti sebagai seorang pemimpin, dan membawa suara mahasiswa dalam memperjuangkan pembangunan, kebajikan dan kesejahteraan mereka,” ujar Abdul Rahman.

ikrar6

Tambah beliau, “Selain itu, MPP juga perlu menjadi penghubung di antara pihak Universiti, mahasiswa dan KPT dalam mendokong pembangunan Pelan Strategik USM APEX yang telah direncanakan.”

Setiausaha Politik kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Akhmal Zharif Ahmad Kamal, dalam ucapan perasmiannya turut menyeru MPP untuk memperjuangkan kebajikan pelajar dengan menjunjung profesionalisme, integriti, dan inovasi.

ikrar5

“Saya menyeru MPP untuk membentuk mahasiswa yang holistik dan berdaya saing melalui kerjasama dan sinergi bersama masyarakat luar, menjunjung etika dan profesionalisme dengan berpegang kepada integriti, disiplin, dan tanggungjawab.

“Selain itu, MPP juga perlu mendengar dan memahami suara pelajar selaras dengan moto universiti untuk membawa perubahan positif yang memberi impak jangka panjang kepada komuniti USM,” tegas Akhmal.

Yang Dipertua MPP SA 2024/2025, Muhamad Arif Esa menekankan komitmen barisan kepimpinan baharu untuk mengangkat suara mahasiswa ke peringkat nasional.

ikrar3

Beliau turut menyentuh tentang peluang yang dibuka menerusi pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), yang kini membolehkan badan pelajar memungut dana untuk aktiviti bermanfaat dan memperkukuh pentadbiran kewangan.

Majlis ini turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor HEPA USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin; pegawai-pegawai utama universiti, dekan-dekan pusat pengajian, serta kesemua 46 ahli MPP yang terdiri daripada 29 wakil Kampus Induk, lapan dari Kampus Kejuruteraan, dan lapan dari Kampus Kesihatan.

Dengan pelantikan ini, MPP USM Sidang Akademik 2024/2025 berazam untuk menjadikan agenda mahasiswa sebagai sebahagian daripada agenda universiti dan negara, selaras dengan prinsip HEBAT dan moto ‘Kami Memimpin’ USM.

Teks: Shafinaz Md Ismail

  • Created on .
  • Hits: 104

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024