YB MENTERI RUMUSKAN HALA TUJU PENDIDIKAN TINGGI NEGARA DALAM PENUTUPAN SPHT KPT 2025
PULAU PINANG, 8 Disember 2024 – Seminar Perancangan Hala Tuju Kementerian Pendidikan Tinggi 2025 (SPHT KPT 2025) yang berlangsung sejak Jumaat lalu melabuhkan tirainya tengah hari tadi dengan sesi townhall bersama YB Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.
Dalam ucapannya, YB Menteri berkongsi visi strategik dan jelas mengenai hala tuju pendidikan tinggi negara, yang selaras dengan aspirasi YAB Perdana Menteri.
Beliau menekankan bahawa falsafah pendidikan perlu memfokuskan kepada aspek kemanusiaan, memastikan keseimbangan antara kecemerlangan akademik dan pembangunan moral, spiritual, serta tanggungjawab sosial.
Selain itu, beliau menggariskan keperluan untuk memperkukuh pelan pembangunan pendidikan tinggi dengan memastikan keseimbangan antara teori dan amalan, serta menegaskan bahawa pelaksanaan mesti berkesan agar tidak hanya indah khabar dari rupa.
Berhubung isu autonomi institusi pendidikan, YB Menteri menyeru supaya kebebasan akademik terus dipertahankan melalui penggubalan akta-akta berkaitan, sekaligus menghargai peranan penting golongan akademia dalam rencana pembangunan negara.
Beliau turut menekankan lima fokus utama yang digariskan dalam Amanat 2024 yang disampaikan pada Januari lalu, sebagai panduan utama dalam usaha memartabatkan sektor pendidikan tinggi.
Dalam memperkukuh kepimpinan sektor pendidikan tinggi, YB Menteri menyeru agar Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) diberikan sokongan penuh sebagai pusat utama pembangunan kepimpinan pendidikan tinggi, sama ada dalam institusi awam mahupun swasta.
Beliau juga menegaskan keutamaan untuk memperkasakan kerjasama strategik antara universiti dan industri, dengan harapan usaha ini dapat melahirkan pelbagai inovasi dan penyelesaian yang memberi manfaat kepada semua pihak.
Dalam konteks pendidikan teknikal dan vokasional (TVET), beliau menyentuh keperluan untuk memugar sistem Politeknik dan Kolej Komuniti agar relevan dengan perkembangan semasa.
Bagi Universiti Awam (UA) pula, YB Menteri mengingatkan kepentingan untuk mengukuhkan model kewangan masing-masing agar kekal mampan dan mampu menghadapi ketidaktentuan masa depan.
Menyentuh aspek pengantarabangsaan, beliau menekankan kepentingan menjaga kualiti program untuk pelajar antarabangsa tanpa kompromi, sambil menghargai usaha semua pihak yang telah mengangkat nama Malaysia di persada global.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud; Ketua Setiausaha KPT, Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang; serta kedua-dua Timbalannya, Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian dan Datuk Mohamad Azhan Md. Amir.
Teks: Norliza Farhah Abdul Radzak/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 117