USM GEMBLENG 120 MAHASISWA SUKARELAWAN SERTAI MISI SKUAD IHSAN MADANI KPT-MASKUM BANTU MANGSA BANJIR KELANTAN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 5 Disember 2024 – Seramai 120 mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) merupakan antara 1,000 mahasiswa dari 12 Universiti Awam (UA) seluruh negara yang menyertai Misi Skuad Ihsan MADANI KPT-MASKUM bagi memberi bantuan pasca banjir kepada mangsa yang terkesan di negeri Kelantan.
Selain USM, antara UA yang terlibat dalam misi tersebut adalah Universiti Malaysia Kelantan (UMK) (157 sukarelawan), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) 54 orang, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) 48 orang, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) 45 orang, Universiti Teknologi MARA (UiTM) 40 orang, Universiti Malaya (UM) 36 orang, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) 33 orang, Universiti Putra Malaysia (UPM) 31 orang, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) 30 orang, Universiti Utara Malaysia (UUM) 30 orang, dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) 26 orang.
Mereka semua bergerak di bawah payung Majlis Sukarelawan Universiti Awam Malaysia (MASKUM) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), yang mana USM dan UMK diberi tanggungjawab sebagai pusat koordinasi utama bagi persiapan logistik dan penyelarasan sukarelawan.
Pelancaran misi tersebut disempurnakan Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UPSI yang juga Pengerusi MASKUM, Profesor Dr. Norkhalid Salimin di Padang Kawad, Kampus Kesihatan USM, hari ini.
Menurut Norkhalid, misi pascabanjir ini melibatkan kerja-kerja pembersihan dan pemulihan pasca banjir termasuk sesi kaunseling dan sokongan emosi kepada mangsa banjir di lima daerah tumpuan yang teruk terjejas iaitu Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah, Pasir Puteh dan Bachok.
“Fokus utama misi ini ialah memastikan penduduk setempat dapat menjalani kehidupan seperti biasa selain memberi sokongan psikologi dan moral kepada mangsa banjir,” ujarnya.
Tambah beliau, ia juga bertujuan memberi pendedahan kepada mahasiswa semua Universiti Awam untuk menyantuni dan menyelami keadaan mangsa banjir, dan juga misi menyelamat di Kelantan.
“Selain itu, kita juga ada membawa bersama aset seperti bot, kayak, dan lori untuk membantu proses pemindahan mangsa banjir selain mengagihkan bantuan bakul ihsan MADANI kepada mangsa yang terkesan banjir,” jelasnya lagi.
Ramai antara mahasiswa USM yang terlibat itu merupakan kali pertama menyertai misi bantuan seumpama itu malah ada yang sanggup menghabiskan masa cuti termasuk tidak pulang bertemu keluarga bagi membantu mangsa banjir.
Turut hadir semasa sesi pelepasan sukarelawan ke daerah yang terkesan banjir ialah Naib Canselor UUM, Profesor Dato' Dr. Mohd Fo'ad Sakdan; Yang Menjalankan Fungsi Naib Canselor UMK, Profesor Ts. Dr. Arham Abdullah; Timbalan Naib Canselor (HEPA) UMK, Profesor Dr. Muhammad Ismail; Timbalan Pendaftar Kanan, BHEPA mewakili Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Hafiz Assad Zakaria; Pendaftar UMK, Khairul Eruwan Abdul Halim; dan pegawai-pegawai MASKUM.
Musibah banjir gelombang pertama Monsun Timur Laut yang melanda negeri Kelantan baru-baru ini disifatkan yang terburuk dalam sejarah dan menyebabkan banyak kerosakan harta benda serta mendatangkan kerugian besar bagi penduduk terlibat.
Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 110