USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KELAB ROBOTIK USM HARUMKAN NAMA UNIVERSITI DI UROCK 2024

WhatsApp Image 2024 12 02 at 10.39.40

PUTRAJAYA, 30 November 2024 – Pasukan dari Kelab Robotik Universiti Sains Malaysia (USM) telah mencipta sejarah apabila berjaya meraih lima anugerah bernilai RM4,100 dalam pertandingan robotik berprestij, University Robot Competition (UROCK 2024) baru-baru ini.

Pencapaian yang diraih USM adalah Johan kategori “Legged Robot Race Challenge”, Naib Johan kategori “Rope Climbing Robot Challenge”, tempat pertama kategori Poster “Legged Robot Race Challenge”, tempat pertama kategori Poster “Rope Climbing Robot Challenge”, dan tempat ketiga kategori Poster “Legged Robot Race Challenge”.

WhatsApp Image 2024 12 02 at 10.39.39Menurut Penasihat Kelab Robotik USM, Dr. Wan Amir Fuad Wajdi Othman, kejayaan dalam pertandingan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dari 27 hingga 29 November ini adalah hasil kerja keras, kreativiti, dan semangat juang tinggi yang ditunjukkan oleh semua peserta.

“Alhamdulillah, mengambil bahagian dengan membina dua robot Legged dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (PPKEE), satu robot Legged dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanikal (PPKM), serta satu robot Rope Climbing juga dari PPKEE, kemenangan ini membuktikan bahawa dengan kerjasama, komitmen, dan inovasi, tiada yang mustahil,” ujarnya.

“Malah, pencapaian ini bukan sahaja mengharumkan nama kelab, tetapi juga telah membawa kebanggaan kepada USM,” kata Wan Amir, pensyarah kanan di PPKEE USM.

“Semoga kejayaan yang diperoleh ini akan menjadi inspirasi dalam mewujudkan lebih banyak penglibatan pelajar universiti, khususnya dalam pertandingan berkaitan inovasi dan teknologi di masa hadapan,” tambah beliau.

Sementara itu, Ts. Dr. Noramalina Abdullah, Koordinator pertandingan kejuruteraan dari PPKEE USM, turut melahirkan rasa bangga terhadap kejayaan ini.

“UROCK 2024 merupakan platform terbaik untuk mengetengahkan bakat dan inovasi mahasiswa kejuruteraan.

“Kejayaan ini jelas menunjukkan kecemerlangan USM dalam bidang robotik dan teknologi,” ujarnya.

Selain Wan Amir, pasukan yang terdiri daripada 22 pelajar Kejuruteraan Mekatronik, Elektrik, Elektronik, Pembuatan, dan Mekanikal ini turut dibimbing oleh Dr. Nor Rizuan Mat Noor (PPKEE) serta Profesor Madya Ir. Dr. Mohd Azmi (PPKM).

Dengan tema “Kingdom of Champions,” pertandingan ini merupakan antara pertandingan robotik berprestij di Malaysia dan dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Antara universiti terkemuka lain yang turut serta, selain UniMAP, adalah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Ihsan Kelab Robotik USM

  • Created on .
  • Hits: 213

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024