USM DAN PRIMA GADING: KERJASAMA STRATEGIK PERINTIS PENDIDIKAN LUAR PESISIR
USM PULAU PINANG, 2 Disember 2024 – Majlis penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Sains Malaysia (USM) dan Prima Gading Corporation Sdn. Bhd. yang telah berlangsung pagi ini, menandakan permulaan rasmi kerjasama strategik bersama ICAN College, sebuah institusi pendidikan swasta yang dimiliki sepenuhnya oleh Prima Gading.
Intipati MoU ialah membolehkan ICAN College menjalankan program terpilih USM melalui mod luar pesisir (offshore), khususnya dalam bidang kejururawatan, farmasi dan pengurusan.
Sesi penandatanganan MoU telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat USM, Profesor Dr. Azlan Amran yang mewakili Naib Canselor USM, dan Pengerusi Prima Gading Corporation Sdn. Bhd., Tan Sri Izzuddin Dali.
Majlis MoU turut disaksikan oleh Penyelaras Unit Pengembangan Akademik dan Profesional (USM LEAP), Profesor Dr. Lee Keat Teong serta Pengerusi Lembaga Pengelola, ICAN College, Profesor Datin Dr. Zahurin Mohammed.
Dalam ucapannya, Azlan berkata, "Kerjasama ini merupakan langkah penting dalam mengembangkan program luar pesisir USM yang kini telah berjaya dilaksanakan di India, Turki, dan Iraq. Kami yakin hubungan ini akan terus memacu pendidikan tinggi ke tahap yang lebih tinggi."
Beliau turut menyebut perancangan USM untuk memperluaskan program luar pesisirnya ke China dan Uzbekistan dalam masa terdekat.
Katanya lagi, “Dengan kerjasama ini, USM dan ICAN College turut merancang inisiatif pertukaran pelajar dan staf, serta kolaborasi penyelidikan dalam bidang teknologi kesihatan, termasuk BioCentury, NanoCentury, dan Robotik.”
“Kedua-dua pihak juga sedang mengadakan perbincangan untuk melihat bagaimana graduan diploma daripada ICAN College boleh menjadi ‘feeder’ kepada saluran Ijazah Sarjana Muda USM,” tambah Azlan.
Sementara itu, Pengarah dan Penaung Diraja, Prima Gading Corporation Sdn. Bhd. merangkap Presiden ICAN College, YAM Tunku Zain Al-‘Abidin Ibni Tuanku Mukhriz berkata, kerjasama strategik ini membuktikan komitmen kedua-dua pihak dalam menawarkan pendidikan berkualiti tinggi dan memperluaskan peluang pembelajaran kepada pelajar tempatan serta antarabangsa.
“Ini bukan sahaja akan membawa manfaat kepada pelajar, tetapi juga menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial negara.”
Tambah beliau, “Sebagai sebuah kolej yang komited untuk menyediakan pendidikan berkualiti tinggi, ICAN College sentiasa berusaha untuk melahirkan modal insan yang berkemahiran dan bersedia menghadapi cabaran dunia industri.”
“Kami percaya bahawa kerjasama dengan USM melalui program luar pesisir ini akan membuka lebih banyak peluang kepada para pelajar kami untuk mendapatkan akses kepada pendidikan yang lebih luas dan berprestij, sambil membolehkan mereka mendapat pengiktirafan daripada salah satu universiti terbaik di Malaysia,” katanya.
Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin; Pengarah Urusan, Prima Gading merangkap Ahli Lembaga Pengelola, ICAN College, M. Ganesh Kumar; serta ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai utama Prima Gading dan ICAN College, dan pegawai-pegawai utama universiti.
Teks: Shafinaz Md Ismail & Tan Ewe Hoe/Foto: Shahnizam Ab Rahim
- Created on .
- Hits: 473