USM IKTIRAF KECEMERLANGAN WARGA DESASISWA MELALUI MAJLIS ANUGERAH SANJUNGAN DESASISWA 2023/2024
USM PULAU PINANG, 29 November 2024 – Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan Majlis Anugerah Sanjungan Desasiswa (ASD) Sidang Akademik 2023/2024 dengan penuh gilang-gemilang di Eastin Hotel baru-baru ini.
Acara ini diadakan bagi mengiktiraf pencapaian dan sumbangan luar biasa warga desasiswa, selain meraikan kepimpinan, kesukarelawanan, kebudayaan, dan keusahawanan yang menyerlahkan potensi pelajar USM sebagai pemimpin masa hadapan.
Majlis ini dirasmikan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed dan dalam ucapan perasmiannya, beliau menegaskan bahawa desasiswa bukan sekadar tempat tinggal kepada hampir 15,000 pelajar tetapi merupakan platform pembentukan sahsiah, semangat sukarelawan, dan kepimpinan mereka.
"Sebagai universiti berstatus APEX, kita berhasrat untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga unggul dalam kepimpinan serta keprihatinan terhadap masyarakat dan kelestarian," katanya.
Acara ini menghimpunkan sembilan desasiswa USM dalam satu malam penghargaan yang penuh bermakna, dengan penyampaian pelbagai anugerah utama. Antaranya ialah:
Anugerah Kepimpinan – MPD Terbaik, seperti Anugerah Mahkota Alam dan Anugerah Bintang Lestari.
Anugerah Projek Desasiswa Terbaik, meliputi kategori kebudayaan, kesukarelawanan, dan sukan.
Anugerah Perdana, termasuk Anugerah Tokoh Desasiswa dan Desasiswa Terbaik.
Anugerah Kelestarian, sejajar dengan tema majlis kali ini, menyokong misi USM membina komuniti dan graduan yang peka terhadap masa depan.
Bagi Kategori Angerah Perdana yang dinanti-nantikan, Desasiswa Jaya Lembaran Utama, Kampus Kejuruteraan telah dinobatkan sebagai juara ASD SA2023/2024 manakala Khalish Haikal Mohd Nasir telah mengungguli kategori Tokoh Desasiswa. |
Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin, beliau sangat menghargai peranan desasiswa dalam pembangunan sahsiah dan bakat para pelajar.
"Desasiswa tidak sekadar menyediakan tempat tinggal, tetapi melatih dan membentuk pelajar dengan nilai kepimpinan, kerjasama, kesungguhan, serta sikap bertanggungjawab.
“Pelajar di desasiswa mencipta kenangan, menjalin persahabatan, dan meningkatkan kemahiran hidup yang sangat penting untuk kejayaan mereka di dunia luar kelak," ujar beliau.
Program ini, yang diketuai oleh Mukhidan Mukmin Mukhlishien selaku Pengarah Projek, mendapat sokongan penuh daripada warga desasiswa dan pegawai universiti.
Majlis diakhiri dengan persembahan menarik dan sesi fotografi, mengukir kenangan manis buat semua yang hadir.
Acara seperti ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada pelajar untuk terus menyumbang kepada masyarakat, sekaligus memacu nama USM sebagai institusi pendidikan bertaraf dunia.
Turut hadir memeriahkan acara ialah Pengarah Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail; Timbalan Pendaftar Kanan BHEPA, Roslan Ismail; serta Penggawa dan Penolong Penggawa dari seluruh desasiswa.
Teks: Shafinaz Md Ismail/Foto: Shahnizam Ab Rahim
- Created on .
- Hits: 186