USM DAN UTP JALIN KERJASAMA PERKUKUH USAHA PROMOSI PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT
SERI ISKANDAR, PERAK, 3 Disember 2024 – Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) baru-baru ini telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) menyaksikan kerjasama strategik antara Pusat Penilaian APEL USM (PPA USM) bersama Pusat Pengajian Siswazah, UTP bagi memperkukuhkan usaha mempromosikan pembelajaran sepanjang hayat.
Majlis penandatanganan MoA ini telah disempurnakan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed dan Naib Canselor UTP, Dato’ Profesor Ir. Ts. Dr. Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib, sambil disaksikan oleh Dekan Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh USM, dan juga Penasihat PPA USM, Prof. Madya Dr Zulnaidi Yaacob dan Timbalan Naib Canselor Akademik UTP, Profesor Ir. Dr. Hilmi Mukhtar.
Ketika berucap di majlis tersebut, Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, melalui perjanjian ini PPA USM akan menyediakan perkhidmatan penilaian APEL.A bagi calon pascasiswazah UTP dari dalam dan luar negara, khususnya bagi Tahap T-6 (Ijazah Sarjana Muda) dan T-7 (Ijazah Sarjana).
“Inisiatif ini membolehkan golongan profesional yang memiliki pengalaman kerja tetapi tiada kelayakan akademik formal untuk diiktiraf berdasarkan pembelajaran terdahulu mereka. Oleh itu, kerjasama ini membuka peluang kepada lebih ramai individu untuk melanjutkan pengajian di peringkat pascasiswazah, selari dengan prinsip pembelajaran sepanjang hayat,” kata beliau.
Tambah Abdul Rahman, kerjasama ini mencerminkan komitmen kedua-dua universiti untuk memberikan pengiktirafan kepada golongan profesional, di samping memastikan pengalaman mereka diterjemahkan kepada kelayakan akademik.
“Ini bukan sahaja meningkatkan mobiliti kerjaya, namun pada masa yang sama menggalakkan peningkatan ilmu dalam kalangan pekerja yang berpengalaman,” jelas Abdul Rahman lagi.
Di majlis yang sama, Naib Canselor UTP, Dato’ Profesor Ir. Ts. Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib turut menyatakan sokongan penuh terhadap kerjasama bersama USM bagi menggalakkan lagi pekerja-pekerja dalam bidang profesional di negara ini yang tiada kelayakan akademik untuk terus memberi ruang dan peluang buat mereka meneruskan pengajian akademik ke peringkat yang lebih tinggi.
“Melalui usahasama USM-UTP ini diharapkan akan dapat membuka peluang yang lebih luas kepada kedua-dua universiti untuk menjalinkan kerjasama dalam pelbagai bidang yang lain pada masa akan datang, dan sekaligus menyokong inisiatif pembelajaran sepanjang hayat di negara ini,” jelas beliau lagi sebelum penandatanganan MoA diadakan.
Turut hadir ke majlis tersebut ialah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Prof. Dato’ Gs. Dr Narimah Samat, selaku penaung PPA USM; Penyelaras PPA USM, Dr. Zarina Md Nor; Timbalan Pendaftar Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh USM, Mohd Rashid Abdul Rejab selaku Penolong Penasihat PPA dan Penolong Penyelaras PPA, Dr. Zurina Mohd Radzi.
Manakala pihak UTP yang turut bersama di majlis ini adalah Dekan Pusat Pengajian Siswazah UTP, Profesor Madya Dr. Balbir Singh Mahinder Singh; Pengurus Pusat Pengajian Siswazah UTP, Ho Guan Yih dan warga staf UTP.
PPA USM telah menerima kelulusan dari MQA pada 11 Oktober 2023 sebagai pusat penilaian APEL.A terbuka dan beroperasi sepenuhnya pada awal Disember 2023.
Sepanjang pengoperasian, PPA USM telah mendapat sambutan yang menggalakkan dan telah menjalankan sebanyak sebelas (11) Siri Ujian Penilaian kepada calon yang memohon secara dalam talian sepenuhnya.
Permohonan pendaftaran juga dibuka sepanjang tahun bagi individu atau pekerja professional yang berminat untuk mendapatkan pengakreditasian berasaskan pengalaman.
Individu yang berminat dan ingin mengetahui lebih lanjut berkenaan Pusat Penilaian APEL.A USM boleh melayari laman web yang tertera.
Info lanjut, layari laman web APEL USM: https://apel.usm.my/
Teks: Dr. Zarina Md Nor, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), USM
Suntingan: Mohd Azrul Mohd Azhar
Foto: Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), USM
- Created on .
- Hits: 141