USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM TEROKA KEUSAHAWANAN TEMPATAN DAN KELESTARIAN BUDAYA TRADISIONAL DI PASAR KAMU, DELI SERDANG, INDONESIA  

WhatsApp Image 2024 12 03 at 15.24.06 1accde19
 
DELI SERDANG, SUMATERA UTARA, 3 Disember 2024 - Pusat Penyelidikan Wanita dan Jantina (KANITA), Universiti Sains Malaysia (USM), dengan kerjasama Universitas Sumatera Utara (USU) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM), telah mengadakan lawatan ke Pasar Kamu di Deli Serdang, Sumatera Utara, Indonesia bagi meninjau peluang dan inisiatif unik yang dirancang untuk memelihara amalan budaya tradisional, sambil memperkasakan komuniti melalui keusahawanan dan kelestarian.
 
Lawatan melibatkan 149 peserta, terdiri daripada 11 orang wakil dari USU, 9 orang dari USM, 9 orang dari UiTM, serta 120 penjual tempatan dari Pasar Kamu. 
 
WhatsApp Image 2024 12 03 at 15.24.07 97da3bb1
 
Kolaborasi ini diterajui oleh Prof. Dr. Ritha F. Dalimunthe dan Dr. Ameilia Zuliyanti Siregar dari USU, manakala delegasi USM pula diketuai oleh Prof. Dr. Saidatulakmal Mohd, Prof. Madya Dr. Nor Hafizah Selamat, dan Dr. Zaireeni Azmi, bersama Encik Mohd Faiz Fansuri Mohd Affandy, Pegawai Penyelidik USM.
 
Selain itu, pelajar daripada pelbagai disiplin termasuk Wang Yuan (Kajian Jantina), Farahanim Faizul Zamri (Kajian Pembangunan), Luqman Hakim Samsul Kamal (Antropologi dan Sosiologi), Mohamad Shahrul Azwan Mohd Suhazizol (Sains Politik), dan Teh Chi Chong (Ekonomi) juga terlibat dalam program kali ini, yang bergiat secara aktif menyumbang berasaskan wawancara dan pemerhatian terhadap amalan komuniti.
 
Pada lawatan tersebut, para akademik turut berkongsi ilmu dan kepakaran dengan golongan penjual tentang strategi pemasaran digital. 
 
WhatsApp Image 2024 12 03 at 15.24.07 8848d3e4
 
Timbalan Pengarah KANITA USM, Prof. Madya Dr. Nor Hafizah Selamat menekankan kaedah untuk meningkatkan kebolehpasaran produk melalui platform seperti Instagram dan Shopee. Bengkel juga memberi fokus kepada penjenamaan, pembungkusan mesra alam, dan amalan perniagaan lestari. 
 
Penjual juga dididik untuk menggunakan pembungkusan terbiodegradasi, seperti daun pisang, untuk mengurangkan kesan terhadap alam sekitar, sejajar dengan prinsip kelestarian Pasar Kamu.
 
Pasar Kamu, singkatan kepada “Pekan Sarapan Karya Anak Muda,” ditubuhkan pada tahun 2020 oleh belia tempatan melalui inisiatif Kampung Lama Area. Pasar ini direka sebagai platform untuk memperkasakan komuniti dengan mempromosikan amalan masakan tradisional dan keusahawanan yang mesra alam. Usaha kolaborasi antara belia dan pemimpin tempatan telah menghidupkan semula warisan budaya, menjadikannya hab ekonomi dan sosial yang berkembang pesat.
 
WhatsApp Image 2024 12 03 at 15.24.34 5e01a4fe
 
Penjual di Pasar Kamu majoritinya adalah daripada golongan wanita dan golongan belia, di mana selain ia menyediakan peluang ekonomi, sekaligus ia juga mengeratkan hubungan kekeluargaan dan sosial, di mana kanak-kanak diajar pada usia yang awal mempelajari kemahiran tradisional bersama ibu bapa mereka.
 
Teks: Mohd Shamimm Nadzeri, Pusat Penyelidikan Wanita dan Gender (KANITA), USM
Suntingan: Mohd Azrul Mohd Azhar
Foto: Pusat Penyelidikan Wanita dan Gender (KANITA), USM
  • Created on .
  • Hits: 119

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024