USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM PERKASA SOSIO-EKONOMI WANITA DAN PEMBANGUNAN LESTARI MELALUI INISIATIF EKOSISTEM PAYA BAKAU DI BATUBARA, INDONESIA

 

WhatsApp Image 2024 12 03 at 15.25.15 a524c350

SUMATERA UTARA, 16 November 2024 - Pusat Penyelidikan Wanita dan Jantina (KANITA), Universiti Sains Malaysia, dengan kerjasama Universitas Sumatera Utara (USU) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) baru-baru ini telah menganjurkan projek pemerkasaan wanita dan mempromosikan pembangunan lestari melalui inisiatif ekosistem paya bakau peringkat antarabangsa di Batubara, Sumatera Utara.

Program tersebut menonjolkan potensi ekosistem paya bakau sebagai satu jalan mampan untuk pembangunan sosio-ekonomi golongan wanita sambil memelihara kelestarian alam sekitar.

Inisiatif KANITA bersama universiti-universiti terlibat bertujuan untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat tempatan terutamanya wanita, melalui pembangunan kemahiran dan strategi pemasaran digital.

WhatsApp Image 2024 12 03 at 15.25.16 7f5f4545

Dengan bimbingan Prof. Dr. Ritha F. Dalimunthe dan Dr Ameilia Zuliyanti Siregar dari USU serta sokongan Pengarah KANITA USM, Prof. Dr. Saidatulakmal Mohd dan tenaga-tenaga pakar akademik iaitu Prof. Madya Dr. Nor Hafizah Selamat, program ini telah melibatkan 78 orang peserta; 11 dari USU, 9 dari USM, 9 dari UiTM, serta 49 ahli komuniti tempatan.

Pengarah KANITA USM, Prof. Dr. Saidatulakmal Mohd berkata, KTCM telah menyelenggara 456 hektar hutan paya bakau selama lebih 20 tahun dengan menanam spesies seperti Avicennia dan Rhizophora stylosa.

“Usaha ini membantu mengurangkan hakisan pantai sambil menyediakan bahan mentah untuk produk mesra alam. Para peserta juga menerokai usaha kreatif seperti reka bentuk batik mangrove, satu seni unik yang menggunakan motif paya bakau,” jelas Saidatulakmal.

WhatsApp Image 2024 12 03 at 15.26.42 ba2cd564

Tambah beliau, di bawah bimbingan pakar tempatan, Ibu Sarmilawati, peserta mempelajari teknik tradisional seperti mencanting (menerapkan corak lilin) dan lainnya turut menekankan penggunaan platform media sosial seperti Instagram, Shopee, dan Lazada untuk mempromosikan produk-produk ini.

Peserta-peserta bekerjasama dengan Kelompok Tani Cinta Mangrove (15 ahli), Silvo Fishery (20 ahli), Kelompok Wisata (40 ahli), dan Kelompok Batik Bunga Mangrove (20 ahli).

Saidatulakmal turut menyatakan program antarabangsa ini telah menyerlahkan potensi ekonomi ekosistem paya bakau di luar aspek pemuliharaan dan Inisiatif seperti akuaponik (gabungan penternakan ikan dan penanaman sayuran) serta pertanian rumah dengan penanaman cili dan kangkung (Ipomoea aquatica) diperkenalkan untuk mempelbagaikan sumber pendapatan.

Pada program yang sama, Timbalan Pengarah KANITA USM, Prof. Madya Dr. Nor Hafizah Selamat turut menyatakan kepentingan memperkasa wanita untuk mencapai kebebasan kewangan buat golongan terbabit.

“Para peserta menyatakan keyakinan terhadap inisiatif ini, mengiktirafnya sebagai jalan untuk memperbaiki taraf hidup sambil mengekalkan kelestarian alam sekitar”

“Kolaborasi antara USU, USM, dan UiTM ini mencerminkan pendekatan holistik terhadap kelestarian, mengintegrasikan dimensi alam sekitar, sosial, dan ekonomi. Ia membuktikan bagaimana sinergi antara akademia dan komuniti boleh menangani cabaran global dengan berkesan,” jelas beliau lagi.

Delegasi USM yang terlibat dalam program ini mempunyai kepakaran pelbagai bidang seperti Dr. Zaireeni Azmi, seorang pakar dalam bidang jantina, Mohd Faiz Fansuri Mohd Affandy, Pegawai Penyelidik dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan.

Manakala pasukan pelajar pula terdiri daripada Wang Yuan (Kajian Jantina), Farahanim Faizul Zamri (Kajian Pembangunan), Luqman Hakim Samsul Kamal (Antropologi dan Sosiologi), Mohamad Shahrul Azwan Mohd Suhazizol (Sains Politik), dan Teh Chi Chong (Ekonomi).

Teks: Mohd Shamimm Nadzeri, Pusat Penyelidikan Wanita dan Jantina (KANITA), USM     
Suntingan: Mohd Azrul Mohd Azhar
Foto: Pusat Penyelidikan Wanita dan Gender (KANITA), USM
  • Created on .
  • Hits: 120

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024