USM MERIAHKAN FESTIVAL IDEA PUTRAJAYA, TAMPILKAN RERUAI PAMERAN INOVASI DAN PERKHIDMATAN TERKINI
PUTRAJAYA, 28 November 2024 – Universiti Sains Malaysia (USM) tidak melepaskan peluang untuk memeriahkan Festival Idea Putrajaya (FOI), yang dianjurkan khas oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan matlamat untuk merakyatkan idea dan pendidikan tinggi secara menyeluruh.
FOI, yang menarik lebih 250,000 pengunjung, turut menjadi platform untuk mempromosikan Malaysia sebagai pusat wacana intelektual dan inovasi di peringkat serantau dan global melalui pendekatan "whole of government".
Festival berprestij ini telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, menunjukkan komitmen tinggi dengan menghadiri festival ini bagi menjayakan inisiatif KPT yang bertujuan untuk mengembalikan kegemilangan budaya ilmu serta melahirkan masyarakat yang menghargai pengetahuan.
Beliau turut meluangkan masa bertemu dengan warga USM yang terlibat dalam reruai pameran, antaranya:
- Game On: How To Be A Superhero And Save The World Through SDGs (Book and Online),
- Inovasi rawatan kanser lidah bertaraf dunia (Brakiterapi),
- Super-T, dan
- Buah Tin: Superfruit Dengan Pelbagai Manfaat Kesihatan Semulajadi
Turut disertakan dalam FOI adalah Sidang Selari USM yang bertajuk "Prioritising Mental Health & Well-Being", yang mendapat sambutan hangat dan dipengerusikan oleh Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly Ahmad.
Dalam pada itu, FOI juga memainkan peranan penting dalam menghimpunkan pemimpin pemikir, pakar, pembuat dasar, ahli akademik, industri, dan masyarakat umum dalam satu platform berprestij untuk membincangkan dan berkongsi idea-idea inovatif serta penyelesaian terhadap cabaran-cabaran semasa yang dihadapi negara dan dunia.
Pada masa yang sama, semua idea dan hasil penyelidikan yang dibawa dikumpulkan dalam satu platform bagi menonjolkan kejayaan negara kepada masyarakat dunia serta merangka masa depan negara melalui konsep "The Malaysian Success Story", sekali gus mengangkat Putrajaya sebagai "City of Ideas".
Platform ini turut berperanan mengetengahkan kearifan lokal dan kebijaksanaan tempatan yang menyumbang kepada usaha membina masyarakat MADANI yang maju dan bertamadun berasaskan ilmu pengetahuan, tradisi, dan khazanah budaya.
Menteri Pendidikan Tinggi, Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir, menyifatkan usaha KPT ini sebagai selaras dengan matlamat Kerajaan MADANI yang memperjuangkan tradisi ilmu dan pencerahan idea, dengan tujuan melahirkan masyarakat berilmu, berakhlak, dan berdaya saing.
Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 224