PROGRAM MOHE-MDEC GLOBAL OUTSOURCING TALENT (GOT) GALAK GRADUAN TEROKA ECONOMI GIG ANTARABANGSA: PEMERKASAAN SDG 4 & 17
USM PULAU PINANG, 8 November 2024 – Majlis Penutup Program MOHE-MDEC Global Outsourcing Talent (GOT), inisiatif kerjasama antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (Malaysia Digital Economy Corporation, MDEC), telah berlangsung pada 6 November 2024 di Putrajaya dan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud.
Program GOT yang dahulu dikenali sebagai Latihan Digital Freelance ini dilaksanakan di bawah inisiatif Dana PENJANA Career Advancement Programme (KPT-CAP) dengan peruntukan sebanyak RM25 juta untuk melatih 5,000 peserta termasuk 100 pelajar dan alumni Universiti Sains Malaysia (USM).
Melalui program ini, peserta dilatih dalam pelbagai bidang gig seperti Linguistik, Reka Bentuk Web, Media Kreatif, Pembantu Maya, dan Pengurusan Media Sosial.
Pada majlis tersebut, penghargaan turut diberikan kepada Mohd Sharimin Rashid, peserta alumni USM dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik yang memperoleh Anugerah Pencapaian Cemerlang (kategori universiti) penjanaan pendapatan tertinggi.
Program GOT berperanan memperkasa bakat tempatan untuk bersaing di platform antarabangsa dan mencapai pendapatan mampan melalui ekonomi gig, selaras dengan Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan 2021–2025 oleh KPT.
Majlis turut dihadiri oleh pemimpin utama sektor pendidikan dan ekonomi digital termasuk Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Profesor Datuk Dr. Azlinda Azman; Pengerusi MDEC, Tuan Syed Ibrahim Syed Noh; Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Haji Toriman; dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin, yang mewakili Naib Canselor USM.
Berdasarkan data Kajian Pengesanan Graduan 2023, 8.3% graduan Malaysia kini terlibat dalam ekonomi gig yang menunjukkan potensi tinggi graduan untuk bersaing secara global dengan kemahiran digital terkini.
Teks: Sollehin Ab Rahim, Sektor Kerjaya & Kebolehpasaran Graduan BHEPA USM/Foto: MDEC
- Created on .
- Hits: 144